أَلاَ بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
“Ketahuilah dengan zikrullah itu hati menjadi tetap. (tenang, tenteram)” (Ar-Ra’d .. 28 )
يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ اذْكُرُواْ اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً
Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allahdengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; (Al-Ahzab, (33) : 41)
Bagi amalan zikrullah itu terdapat buah-buah dan natijah-natijahnya yang murni yang pasti akan dirasai oleh sesiapa yang tekun beramal dengannya dengan penuh adab dan hati yang hadir [tidak lalai], dan natijahnya yang paling kurang ialah pasti orang tersebut akan dapat merasai kemanisan dan kelazatan [rohani] di dalam dirinya, iaitu suatu kenikmatan dan kelazatan yang akan menyebabkan dirinya tidak lagi memandang [tidak lagi mengendahkan] kepada kelazatan-kelazatan keduniaan yang dirasainya sebelum itu, dan buahnya yang paling tinggi[1] ialah bilamana ahli zikir tersebut akan menjadi “fana’” dengan “Zat yang diingati” [Allah] dan fana’ dari segala sesuatu yang lain dari Allah.[2]
Firman Allah :إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَبِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
“…………Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang mensucikan diri.” (Al-Baqarah : 222)
Dan barangsiapa yang duduk dalam keadaan suci, tenang dan bersunyi-sunyian [seorang diri] sambil menghadap kiblat kemudian berzikir kepada Allah dengan hati yang hadir dan mera`ikan segala adab-adab yang dikehendaki pasti akan melihat kesan-kesan yang nyata pada hatinya [ekoran dari zikir yang diamalkan]. Dan sekiranya dia berkekalan di dalam melakukan yang demikian pasti cahaya-cahaya al-qurb [cahaya-cahaya yang menghampirkan dirinya dengan Allah] akan bersinar di dalam dirinya dan akan tersingkaplah kepada dirinya pelbagai rahsia-rahsia alam ghaib
Dan seutama-utama zikir ialah zikir yang melibatkan [penghayatan dan kesedaran] hati dan pengucapan lidah, dan penghayatan hati ketika berzikir bermaksud hati menghayati sepenuhnya segala pengertian-pengertian zikir yang diucapkan oleh lidah.
Dan yang paling utama bagi sesiapa yang berzikir kepada Allah - dalam aspek merendahkan suara ataupun menyaringkan suara - ialah melakukan apa yang didapatinya paling memberikan kesan dan maslahah kepada hatinya, maka sesungguhnya zikir merupakan wirid yang berterusan [yang perlu dilakukan di dalam semua keadaan dan setiap masa] maka hendaklah engkau bersungguh-sungguh mempastikan bahawa lidahmu sentiasa basah kerana berzikir di dalam semua keadaan kecuali pada masa-masa tertentu yang tidak dapat digabungkan antara amalan zikrullah dan amalan-amalan ibadat yang lain, maka pada masa-masa tesebut ibadat-ibadat yang lain itu merupakan zikrullah dengan pengertiannya yang umum.
Dan wajib ke atas engkau memelihara segala zikir-zikir dan doa-doa yang ma’thur, yang perlu dibaca dan diamalkan selepas sembahyang fardu lima waktu, zikir di waktu pagi dan petang, zikir sebelum tidur dan zikir-zikir lain yang telah ditentukan masa-masa pembacaannya [melalui perbuatan Nabi saw]. Maka Nabi saw tidaklah mensyariatkan kesemua zikir-zikir tersebut kepada umatnya melainkan kerana zikir-zikir tersebut akan menjadi “sebab” yang akan mendatangkan kebaikan kepada kehidupan mereka dan akan menyelamatkan mereka dari pelbagai kejahatan dan keburukan [yang boleh menimpa hidup mereka] di dalam masa-masa yang dilalui itu; maka barang siapa yang lalai [tidak mengambil kisah] untuk mengamalkan zikir-zikir Nabi saw tersebut kemudian dirinya tertimpa dengan perkara-perkara yang tidak baik atau terhalang untuk mencapai sesuatu yang dicintainya maka janganlah dia mencerca [menyalahkan] melainkan dirinya sendiri…………………..
[1] Kesannya yang paling besar
[2] Menjadi tenggelam dan asyik dengan Allah yang diingatinya sehingga tumpuan dan perhatian jiwa dan akalnya kepada segala sesuatu yang lain dari Allah akan lupus dan hilang sama sekali dari pandangan hatinya.
(dipetik untuk perkongsian dari seorang sahabat ,'membina jalan menuju Allah')
Tiada ulasan:
Catat Ulasan