Bismillahi wal
hamdulilllah. Rasa syukur dipanjatkan hanya kepada yang selayaknya Allah Rabbul
Jalil yang sentiasa melimpahkan kurnia
kepada hamba-hambanya. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Kebesaran
yang tidak tertanding sama ada yang berada di langit mahupun di bumi.
Suatu kenikmatan yang
dipinjamkan oleh Allah pada hambanya apabila hayat ini masih lagi berkesempatan
untuk bertemu Ramadhan. Apalagi dalam keadaan usia yang semakin meningkat,
memerlukan sebanyak-banyak himpunan amal kebaikan sebagai bekal untuk bertemu
Sang Pencipta. Menjadi kerinduan bagi-Nya untuk bertemu mereka yang rindu
pada-Nya.
Terasa hari-hari yang
dilalui semakin lama semakin besar cabaran dan pengorbanannya. Lebih-lebih lagi
setelah bergelar abi kepada seorang mujahidah penyeri keluarga , permata hati
dan penyejuk mata yang telah selamat lahir ke dunia, menemani ummi dan abi
bersama pada 14 Mei 2013/4 Rejab 1434H yang lalu. Tahniah atas kelahiranmu
wahai anak. Setelah bersama ummi sepenuhnya selama 9 bulan 14 hari, kini abi
dan ummi dapat memandang wajahmu, memelukmu erat-erat, menggenggam tanganmu,
mengucup dahimu dan mencium pipimu yang masih terasa kewangian syurga. Sungguh
suci dirimu wahai anak. Tempoh kuarantin bersama ummi telah pun tamat. Jika dulu
kau mendapat makanan hasil dari rezeki yang abi suapkan ke mulut ummi,moga
rezeki itu halal dan berkat buat kita. Jika dulu kau mendengar segala butiran
suara ummi mengalunkan zikir dan bertadarus,moga kau juga menjadi anak yang
sentiasa basah lidahmu dengan zikir dan membaca al-Quran,jika dulu ummi sukakan
pengajian ilmu daripada para masyaikh,moga kau juga menjadi anak yang cintakan
ilmu dan sayangkan para alim ulama. Jika dulu kau sentiasa mendengar kalam
nasihat terbit dari bibir ummi dan abi,moga dirimu juga menjadi orang yang
sentiasa mudah mendengar nasihat dan sentiasa hikmah dalam memberikan
nasihat.
Buat zaujah yang disayangi,
syukran atas penat lelahmu menjaga anak ini dengan baik semasa dalam kandunganmu.
Lahirnya zuriat darimu memberikan seribu satu kenikmatan dalam kehidupan rumah
tangga kita. Segala puji bagi Allah atas nikmat pemberian-Nya. Segala kisah
yang pernah dilalui bersama semasa mengandungkan Qurratul ‘Ain dapat dijadikan
iktibar buat kita sebagai anak. Sebesar mana pandangan kita terhadap pengorbanan kedua ibu bapa kita yang menjaga, mendidik dan
membesarkan kita. Moga kita menjadi anak yang soleh dan solehah buat ummi dan
papa,serta ma dan abah. Juga Qurratul ‘Ain menjadi anak yang solehah buat ummi
dan abi. In sha Allah, abi dan ummi perlu sama-sama menjaga amanah yang dititipkan Allah
sebaiknya. Moga barakah ramadhan kali dapat kita ambil peluang untuk membentuk
serta membawa diri dan keluarga ke dalam tarbiyah Islam yang sempurna. In sha
Allah.
RAMADHAN KAREEM…..