Malam yang tenang...
Dalam kegelapan yang tak tersuluh, kesunyian yang tak terbingit, suasana damai itu menyapa jiwa-jiwa kosong yang butuhkan pengisian. Ruh segar mula bangun, merangkak dan berdiri, berjalan dan meniti landasan sempit dengan penuh cermat.
Bukan mudah ruh itu membawa sangkarnya melalui perjalanan itu. Ramai yang kecundang,menyerah dan berputih mata. Namun digagahi jua langkahnya. Akhirnya terpilihlah dia, diangkatnya menjadi raja penghias malam. Jika pada tanah dialah bajanya, jika pada sungai dialah airnya yang terus mengalir melalui celahan batu-batu besar.
"Alhamdulillah, Allah pilih aku untuk menjadi teman munajat-Nya, Allah pilih aku untuk menjadi pengadu kepada-Nya, Allah pilih aku untuk menjadi peminta daripada kekayaan-Nya", bisik suara hatinya.
"Beruntungnya diriku ini. Aku menutup akhir malamku dengan taubat,hajat dan istikharah pada-Mu. Aku buka pengisian di penghujung malamku dengan tahajud,tasbih dan witir. Betapa aku cinta akan Mu ya Allah. betapa aku rindu untuk tenggelam dalam zikirullah, tanda ingatanku kepada-Mu", tambahnya lagi.
Namun, jiwa itu telah lupa pada sesuatu. Lupa pada sesuatu yang diketahuinya. Tenggelam dalam keasyikan ibadahnya. Tenggelam dalam timbunan amalannya.
Nasihat seorang murobbi itu menjentik hatinya. Ibaratnya menyegarkan semula kelopak mawar yang layu itu, mengingatkan kelopak si mawar itu supaya jangan lupa untuk mekar, menadah embun-embun pagi supaya dapat terus merasai kesegaran dan memelihara kesegahan bunga itu. Kata-kata murobbi itu sangat terkesan pada hatinya yang sedia menerima suluhan dari mereka yang ikhlas.
Jangan berbangga dengan kejahatan yang kamu lakukan,
kelak kamu akan dimalukan denga kejahatan itu,
Jangan berbangga dengan kebaikan yang kamu lakukan,
kerana kamu akan membencinya,
apabila tiada orang yang memerhatikan kamu,
Jangan ada rasa puas dengan amalan kamu,
kerana kamu akan tinggalkannya,
setelah kamu berasa sudah banyak beramal dengannya.
Beramallah kamu,
tetapi jangan berasa kamu beramal.
Tersungkur hatinya apabila mendengar kata-kata itu. Jiwanya merintih...
Ya Allah, siapa aku hari ini adalah keranaMu,
Apa amalanku kini adalah dari kekuatanMu,
Bagaimana keadaanku kini adalah dari perlindunganMu,
Mengapa aku di sini adalah kerana percaturanMu,
Tiada daya aku atas diriku ini ya Allah,
Melainkan semuanya dariMu....
Ya Allah...
Ikhlaskan hatiku atas tiap kelipan mataku,
Ikhlaskan hatiku atas tiap tutur kataku,
Ikhlaskan hatiku atas tiap curahan pemikiranku,
Ikhlaskan hatiku atas tiap petikan jemariku,
Ikhlaskan hatiku atas tiap langkah kakiku.
Ikhlaskanlah segala amal perbuatanku ini Ya Allah....
Keren , sampe ternyuh-nyenyuh,,,
BalasPadam