24 September 2011

Keluh Hati Si Tua...

    
     Suatu pagi di tempat itu.  Arif benar si tua itu dengan suasananya. Ramai pengunjung luar begitu tertarik dan terpesona dengan binaan-binaan bangunan yang indah, tersergamnya membuatkan setiap mata yang memandang merasakan seperti berada di turki, dan yaman. Iklan-iklan yang islami dan model-model bertudung litup seolah-olah pandai menghormati gelaran sebuah ’negara Islam’ .

     Namun,itu hanyalah retorik yang tergambar semata-mata. Ternyata luarannya mampu menunjukkan keindahan islam,mampu mengkagumkan pengunjung luar yang inginkan kelainan,namun,suatu jasad yang telah lama meniti pembangunan di situ, telah lama merasai perubahan demi perubahan yang berlaku,merasakan masih ada sesuatu yang kurang
     
     Ya,masih banyak yang belum mampu dilakukan. Kenapa? Adakah kerana tidak ada kecukupan waktu? Ataupun kerana sentiasa bermain dengan waktu? Apa 54 tahun itu,masih menunjukkan bahawa kita masih belum matang? Atau langsung tiada usaha ke arah itu? Atau merasakan tiada kepentingan ke arah itu?

     Mungkin juga barangkali merasakan bahawa ianya sesuatu yang ketinggalan zaman? Manusia adalah makhluk yang diberi akal fikiran dan  tidak seperti makhluk lain,maka adakah sepatutnya akal yang diberi itu digunakan untuk menentang suruhan Allah swt? Adakah akal yang dikurniakan Allah itu sepatutnya digunakan hanya untuk memikirkan tentang hal keduniaan semata? Adakah konsep penerimaan akal yang diciptakan Allah itu tidak layak digabungkan dengan percaturan Allah sepertimana yang digariskan dalam al-Quran dan al-Hadith? Dan adakah al-Quran dan al-Hadith itu merupakan satu versi lain yang tidak dapat diterima akal masa kini dan dianggap membebankan manusia?

     Persoalan demi persoalan timbul dalam diri si tua itu. Itulah hakikatnya yang berlaku. Manusia semakin lari dari tujuan asal dan fitrah. Jika dibawa kembali kepada sejarah, di manakah suara kebangkitan Islam yang dibawa oleh Tok Janggut? yang diperjuangkan oleh Haji Abdul Rahman Limbong?  Di mana lagi suasana tarbiyah dapat dirasai setelah pondok-pondok pengajian agama dibiarkan ibarat hidup segan mati tak mahu? Di manakah para ulama’ dan ilmuwan agama mengeluarkan ijtihad menentang unsur kesyirikan dan fitnah yang semakin bergelodak itu?

     Itulah antara rintihan suara batin si tua itu yang masih mengharapkan adanya sekelumit iman dalam diri muslim,bagi membantu mengembalikan semula sistem pemerintah khilafah. Tiada daya rasanya melihat anak-anak muda Islam kini semakin jauh dari agama mereka, cara hidup asing yang semakin dibangga-banggakan dan diikuti menampakkan seolah-olah anak- anak ini sudah tidak ada jati diri dan maruah. Di mana syariat Allah? di mana sunnah Rasulullah?

Hanya sekalung doa mampu si tua ini lafazkan....

Ya Allah,
Sudut situasi membelit pemikiranku,
Dalam hatiku ini terkumpul segala harapan,

Bawalah mereka kepadaMu,
Tambahkanlah kekurangan pada jiwa mereka dengan ketinggian ilmuMu,
Sinarilah kebenaran dengan hidayahMu,
Cenderungkanlah hati mereka kepada keindahan agamaMu,
Corakkanlah kehidupan mereka dengan kilauan cahaya barakahMu,
Kerana mereka masih lemah ya Allah,
Mereka memerlukan panduanMu,
Mereka memerlukan sokonganMu,
Mereka memerlukan kasih sayangMu,
Oleh itu ya Allah,jadikanlah mereka hamba yang sentiasa mencari kesempurnaan dalam menujuMu.
Janganlah Kau biarkan anak cucuku tengelam dalam kehanyutan dunia fana’ ini.

Ya Allah.......
Jadikanlah mereka anak-anak yang berani,
Jadikanlah mereka anak-anak yang ada nur Iman dalam diri,
Jadikanlah mereka pejuang-pejuang agama yang sanggup mati memperjuangkan agama,
Jadikanlah  mereka anak-anak yang akan mengembalikan semula zaman khilafah,
Jadikan mereka rantai besi perjuangan Islam,
Jadikan mereka bola api yang sedia membakar panji musuh
Jadikan mereka singa yang tidak  gentar membaham lawannya,
Dan jadikanlah mereka pokok rendang yang sentiasa menaungi kehidupan yang lain  dengan daun-daunnya yang bersumberkan dari nikmat pemberianMu...
Amin...amin...amin...ya robbal’alamiin...
-Doa dari hambaMu yang qudus-
(si tua yang dimamah usia)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan