Kita pasti biasa mendengar kisah perkahwinan antara masyarakat dari negara yang mempunyai latar belakang berbeza,suku kaum berbeza, keturunan dan bangsa yang berbeza. Namun, pastinya ada segelintir masyarakat yang pernah terdengar kisah perkahwinan antara manusia dengan jin. Tentu sekali pasti ada individu-individu tertentu yang pernah berada dalam situasi sebegini dan masih dalam kebingungan setelah melalui beberapa perkara-perkara pelik yang berlaku pada diri sendiri. Jesteru, dinukilkan perkongsian ini sebagai kefahaman dan pengetahuan di samping persediaan jika berlaku pada diri kita atau ahli keluarga kerana hal ini juga melibatkan hukum dan boleh memberikan kesan jangka panjang pada kehidupan manusia.
Benarkah terdapat kisah perkahwinan antara manusia dengan jin?
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Muhammad Abduh Mughawiri ,beliau ada menjelaskan beberapa kisah sebegini dan dicatatkan dalam sebuah buku bertajuk Kisah Perkahwinan Jin Dengan Manusia .
Dalam bukunya ada menceritakan tentang kisah Ratu Balqis yang merupakan penguasa negeri Saba’ pada zaman nabi Sulaiman ‘Alaihissalam. Salah seorang ibu bapa Ratu Balqis adalah jin. Secara ringkasnya Ibnu Katsir rahimahullah menyebutkan bahawa bapa Balqis seorang raja besar. Bapanya menolak untuk menikah dengan mana-mana wanita Yaman dan dikatakan telah bernikah jin perempuan bernama Raihanah binti As-Sakan,lalu melahirkan anak yang dipanggil Talqamah,disebut juga Balqis. '
Satu lagi kisah yang ingin dikongsikan dikatakan telah berlaku setelah pengutusan Rasulullah saw. Ahmad bin Sulaiman bin Al-Bakhad mengatakan: Disampaikan kepada kami oleh Abi bin Al-Hasan bin Sulaiman Abu Al-Sya’tsa’ Al-Hadrami (salah seorang guru Muslim): Abu Mu’awiyah berkata kepada kami: Aku mendengar Al A’masy mengatakan: Ada seorang jin yang menikah dengan perempuan di antara kami, aku berkata kepadanya: “Makanan apa yang engkau sukai?” Ia menjawab: “Nasi”,lalu kami berikan itu kepadanya, ternyata aku melihat suapan-suapan yang diangkat tapi aku tidak melihat adanya seseorang. Setelah itu aku bertanya: “Apa pada bangsa kalian ada juga kecenderungan(aliran) seperti kami?” Ia menjawab: “Ya”. Aku bertanya lagi: “Yang bagaimanakah golongan Rafidah pada bangsa kalian?” Ia menjawab: “Yang jahat”. (menurut Syeikh Al-Hafizh Abu Al-Hajja Al-Mazzi bahawa riwayat ini isnadnya kepada Al-A’masy shahih).
Di dalam buku Menjawab Persoalan Makhluk Halus karangan Tuan Guru Dato’ Haron Din (semoga Allah memelihara kebenaran ilmu beliau dan mengalir barakah ilmunya) menjelaskan bahawa, ada pendapat yang mengatakan salah seorang ibu bapa Puteri Balqis adalah dari golongan jin sepertimana yang tercatat dalam tafsir al-Qurtubi ² ketika membuat tafsiran surah Al-Isra’ ayat 64 yang menyebut firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan seni suaramu (nyanyian) dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta berjalan kaki untuk mengalahkan mereka dan turut –campurlah (berkongsilah) dengan mereka dalam menguruskan harta benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka dengan janjimu . Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.”
Maka ditafsirkan bahawa jin akan berusaha keras memperdayakan manusia untuk menderhakai Allah dengan pelbagai cara seperti nyanyian,tentera-tentera mereka sehingga boleh bermusyarakah bersama untuk mendapatkan harta benda dan anak-anak hasil perkongsian hidup manusia dengan makhluk halus ini. Antaranya disebutkan tentang perkahwinan ibu bapa Puteri Balqis.
Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah ra,Rasulullah saw bersabda:
هارئي أو كلمة غيرها فيكم المغربون قلت وما المغربون قال الذ ين يشترك فيهم الجن
Maksudnya: “Adakah sesiapa di antara kamu menjadi Al-Mugharribuun? Maka aku (‘Aisyah) bertanya Nabi SAW: Siapakah Al-Mugharribuun itu? Nabi SAW bersabda (maksud): Al-Mugharribuun ialah mereka yang telah bermusyarakah dalam kehidupan rumahtangga dengan jin.” ³
Bagaimanakah pula hukum perkahwinan antara jin dengan manusia?
Jelas Tuan Guru lagi jumhur ulama bersepakat bahawa hukum perkahwinan jin dengan manusia adalah tidak sah. Namun begitu, terdapat seorang ulama bernama Qamuli menyatakan perkahwinan antara jin dengan manusia dibolehkan atas beberapa hujah beliau. Namun begitu, sepertimana kesepakatan jumhur ulama tentang tidak dibolehkan perkahwinan jin dengan manusia adalah berdasarkan hujah yang kuat dan jelas melalui surah Ar-Rum pada ayat 21 yang bermaksud:
“Dan diantara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat Allah,bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bahagia dan hidup bermesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”.
Itulah antara keterangan Allah swt supaya kita jelas dalam memilih pasangan hidup supaya tidak mendatangkan mudarat di kemudian hari. Menyentuh tentang kisah yang berlaku pada Puteri Balqis pula,tidak dinyatakan dengan jelas tentang keadaan sebenarnya kerana pastinya kisah tersebut berlaku sebelum kedatangan Rasulullah SAW melalui penurunan wahyu Al-Quran.
Hakikatnya, memang benar-benar boleh terjadi perkahwinan antara dua makhluk dari alam yang berbeza iaitu jin dengan manusia. Tentu kita akan tertanya-tanya,bagaimana pula keadaan yang akan berlaku selepas perkahwinan? Bagaimana yang dikatakan berlakunya persetubuhan antara jin dengan manusia dan bolehkan manusia melahirkan anak hasil perkahwinannya dengan jin sedangkan jin adalah makhluk yang tidak berjirim?Apakah yang akan terjadi kepada zuriat hasil perkahwinan tersebut?
InsyaAllah akan dijelaskan dan dikongsikan bersama. Moga-moga dengan bertambahnya salah satu cabang ilmu dapat membantu kita keluar dari kejahilan dan mempersiapkan diri kita menghadapi sebarang perkara yang menjadi rahsia serta hikmah Allah SWT.
1) Kisah lengkapnya dalam buku al-Bidayah wan-Nihayah,Ibnu Katsir .
2) Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad ibn Abi Bakr Al-Qurtubi (2006),Beirut:Mu’assasah al-Risalah
3) Abu Dawud Sulayman ibn al-Asy’ath al-Sajastani (2008), Sunan Abi Daud
Tiada ulasan:
Catat Ulasan