19 Disember 2011

Kenal al-Quran:Jom Belajar Tajwid

“Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari Al Qur’an dan mengajarkannya” (HR. Bukhari dan Muslim)

     Alhamdulillah,semakin hari,semakin ramai golongan muda yang mempelajari ilmu al-quran bermula dari permulaan mengenal huruf hinggalah kepada ilmu tafsirnya. Buktinya, kelas-kelas al quran sudah mulai dibuka dengan banyaknya bukan sahaja di masjid surau,taman perumahan, malah juga dalam rancangan radio dan televisyen dan aktiviti pengajian sebegini mendapat sambutan baik dari segenap lapisan masyarakat tidak kira daripada golongan kanak-kanak hinggalah kepada golongan dewasa.

     Sememangnya ramai daripada kita yang sudah mempunyai ilmu yang mantap berkaitan ilmu tajwid. Malah, tentu sekali terdapat ramai golongan ilmuan,guru-guru dan ustaz ustazah yang sedia maklum mempunyai kefahaman yang tinggi berkaitan ilmu tajwid. Mudah-mudahan perkongsian ini dapat dijadikan sebagai pemurnian ilmu yang boleh ditambah dan diperbaiki jika terdapat sebarang kesilapan.

     Hakikatnya,dalam mempelajari ilmu tajwid,seseorang itu perlu berguru kepada guru yang mahir dalam bidang tajwid. Tidak cukup hanya melalui buku ataupun video. Mengapa? Kerana ilmu tajwid itu memerlukan kepada satu bentuk pengucapan oleh mereka yang belajar. Siapa lagi yang akan mendengar dan membetulkan ucapan berdasarkan bacaan yang diperdengarkan jika bukan guru? Itulah pentingnya berguru selain memperoleh manfaat barakah belajar berguru secara talaqqi musyafahah yang diamalkan sejak zaman Rasulullah saw lagi. Tidak bermakna alternatif lain seperti bahan-bahan bantu belajar itu tidak boleh digunakan,tetapi cukup sekadar sebagai peneguhan untuk memperkemaskan sesuatu bacaan supaya dapat diperdengarkan dengan lebih baik kepada guru yang mengajar. Itulah prinsip dan kaedah terbaik dalam mempelajari ilmu tajwid.



Apa Itu Ilmu Tajwid?

     Ilmu tajwid adalah ilmu yang membicarakan tentang cara-cara membaca ayat-ayat suci al-Quran menurut hukum-hukum yang tertentu dan mengucapkan huruf-huruf mengikut ketentuan asal makhrajnya dan ketentuan berturutan seperti at-tafkhim, at-tarqiq dan sebagainya.

Apakah Hukum Mempelajari Ilmu Tajwid?

     Mempelajari pelajaran tajwid adalah fardu kifayah dan beramal dengannya adalah fardu ‘ain.

Firman Allah swt yang bermaksud:

 "Dan bacalah Al-Quran itu secara tartil (bertajwid)" (Al-Muzammil: 4).

     Tartil bermaksud bacaan yang dibaca secara tamakninah dan menghalusi bacaan pada lidah. Dibaca bersesuaian dengan peraturan bacaan serta maksudnya seperti tebal,nipis,panjang,pendek,idgham,idzhar,ikhfa’ dan lain-lain hukum.

     Berdasarkan firman Allah itu,jelas menunjukkan satu arahan dari Allah swt untuk membaca al-Quran dengan betul hukum dan peraturannya yakni tartil. Membentuk bacaan yang bertartil,tentu sekali perlu kepada pembelajaran dan juga amalan yang berterusan supaya lidah kita sentiasa mudah menyebut ayat-ayat Allah di samping memberikan kesucian hati yang terakam melalui butir-butir hikmah al-Quran.

Memperelokkan Bacaan al-Quran

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

“Kamu hiasilah Al Quran itu dengan suaramu yang merdu”

     Diriwayatkan, bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w. menunggu-nunggu istrinya, Siti ‘Aisyah r.a. yang kebetulan agak terlambat datangnya. Setelah ia datang, Rasulullah bertanya kepadanya:” Bagaimanakah keadaanmu?” Aisyah menjawab :”Aku terlambat datang, karena mendengarkan bacaan Al Quran seseorang yang sangat bagus lagi merdu suaranya. Belum pernah akumendengarkan suara sebagus itu.”
Maka Rasulullah terus berdiri dan pergi mendengarkan bacaan Al Quran yang dikatakan Aisyah itu. rasulullah kembali dan mengatakan kepada Aisyah:” Orang itu adalah Salim, budak sahaya Abi Huzaifah. Puji- pujian bagi Allah yang telah menjadikan orang yang suaranya merdu seperti Salim itu sebagai ummatku.”

     Setelah kita dapat mengenal huruf-huruf, peranan dalam sebutannya,serta peraturan dalam pembacaan, maka hiasilah pula bacaan kita dengan suara dan bacaan yang lunak dan indah. Itulah sebaik-baik hiasan bagi al-Quran. Bukannya diletakkan di atas takhta permata,di tempat yang tinggi tanpa disentuh dan dibaca isinya. Biarlah kitab suci al-Quranul Karim menjadi hujah kepada kita,dan bukannya berhujah ke atas kita di hari akhirat kelak.

Dari Abdillah bin Amr bin ‘Ash dari Nabi SAW, beliau bersabda, “Akan dikatakan kepada shahib Al Qur’an,

Bacalah dan naiklah serta tartilkan sebagaimana engkau dulu mentartilkan Al Qur’an di dunia, sesungguhnya kedudukanmu di akhir ayat yang kau baca.” (HR. Abu Daud dan Turmudzi)




Malu untuk mula…


     Ya,kebiasaan bagi mereka yang sudah lanjut usia malu untuk memulakan pembelajaran al-Quran. Kita biasa dengar kata-kata ini:


“ Pak cik ni dah tua,malu la nak belajar, tak apalah, cukuplah sikit-sikit ilmu yang pak cik dapat dulu”

Golongan muda pula:

“ Bukan tak nak belajar,tunggulah dulu. Lagipun malulah belajar sekali dengan budak-budak. Nantilah”

     Mungkin itu hanya sebahagian kata-kata yang terucap, malah banyak lagi alasan yang diberikan semata-mata kerana malu untuk belajar. Kenapa kita terlalu cepat berputus asa? Masa inilah kita perlu bersikap jujur dengan diri sendiri. Jika kurang,maka tambahlah,jika tidak pandai,bertanya dan belajarlah. Tambahan lagi, terdapat banyak kelas-kelas al Quran untuk orang dewasa. Semuanya itu semata-mata memberikan peluang kepada golongan dewasa untuk belajar dan lebih mendalami ilmu-ilmu tajwid serta memperelokkan bacaan. Janganlah kita memberi terlalu banyak alasan kerana itu tandanya kita sedang mencipta kegagalan.

     Bersikap adillah kepada diri sendiri dengan meletakkan perasaan malu itu pada tempatnya. Malulah kepada Allah swt jika pada hari pengadilan nanti kita masih tidak mampu mengenali keindahan kalam Allah swt. Malulah kepada Allah jika pada saat-saat akhir kehidupan kita masih tidak mampu dan tidak pandai untuk mengucapkan surat cinta Allah sebagai persediaan untuk kita menghadapi kenyataan janji-janji Allah swt.

     Inilah masanya,mulakanlah langkah pertama kita dengan baik. Supaya pengaturan untuk langkah seterusnya akan menjadi lebih baik. Berjinaklah-jinaklah dengan al-Quran. Pelajarilah ilmu-ilmu bacaan bertajwid,insyaAllah usaha itu akan menjadi permulaan untuk kita melengkapkan diri kita sebagai penghias kepada al-Quran melalui lantunan suara yang dialunkan. Lupakan kepada suara-suara yang merdu jika ia boleh menjadi pembunuh semangat untuk belajar. Sebaliknya jika mampu, jadikan ia sebagai pencetus semangat supaya kita dapat terus berusaha untuk menjadi sebaik-baik penghias al-Quran. Yang akan menentukan keikhlasan bacaan bukanlah manusia,jesteru,cukuplah Allah yang menilai keikhlasan kita kerana jika al-Quran itu dialunkan dengan suara yang merdu oleh  si pembaca yang penuh dengan perasaan ujub dan riak,maka tiada nilainya juga di sisi Allah.

Mudah-mudahan, Allah memberi kita kekuatan untuk terus istimrar dalam menuntut salah satu cabang ilmu.

      Jadilah orang yang merendah diri dalam mencari ilmu kerana ilmu itu yang akan mengangkat dirimu dari jahil kepada ‘alim. Jadilah orang yang sabar dalam menuntut ilmu kerana ilmu itu akan memberi kekuatan kepada dirimu. Jadilah orang yang cinta akan ilmu kerana ilmu itu akan membuatkan dirimu kenal dan cinta akan Allah swt.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan