Penyakit ‘Ain
Mungkin ramai dalam kalangan
masyarakat yang tidak biasa atau jarang-jarang ,malah tidak pernah tahu tentang
apa itu penyakit ‘ain. Mungkin ada yang
biasa mendengar tentang penyakit ini,tetapi kurang pasti apa sebenarnya
penyakit ‘ain. Begitulah keadaan sebenar tentang kedudukan pengetahuan kita
terhadap apa yang jarang disebut dan jarang dibincangkan. Sedangkan sebenarnya,
penyakit ‘ain inilah antara penyakit yang mudah tertimpa ke atas seseorang dan
tidak dapat dibuktikan melalui kaedah perubatan moden berdasarkan teori-teori
manusia yang pastinya terkandung seribu kelemahan berbanding Allah Yang Maha
Sempurna.
Lantaran itu, kita sebagai hamba
perlu sentiasa diingatkan tentang kekuasaan Allah SWT melebihi segala-galanya. Maka dengan siapa
lagi yang perlu kita minta perlindungan melainkan kepada Allah SWT yang
memiliki kekuasaan yang mutlak. Kepada apa lagi sandaran untuk kita gunakan
melainkan daripada al Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Maka, salah satu cabang
yang perlu kita faham adalah berkaitan kaedah rawatan pengubatan Islam yang
berteraskan al Quran dan sunnah serta amalan-amalan para alim ulama yang
muktabar.
Berbalik kepada penyakit ‘ain,insyaAllah
akan dikongsikan beberapa hadis serta pendapat alim ulama berkaitan penyakit
ini serta keadah ikhtiar membentengi diri daripada terkena penyakit ‘ain.
Bukti Kewujudan Penyakit ‘Ain
Dari A’isyah r.a. pernah berkata
bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Mintalah perlindungan dan
pertolongan Allah SWT dari terkena penyakit ‘Ain kerana penyakit itu adalah
benar”. Riwayat Ibnu Majah dan disahkan oleh al Albaaniy dan Sahih al Jaami’.
(no:951)
Ibnu Abbas r.a. telah meriwayatkan
bahawa Rasulullah SAW telah bersabda
yang bermaksud:
“Penyakit ‘Ain adalah benar,kalaulah
ada sesuatu perkara yang mampu mendahului qadar,nescaya akan didahului oleh al
‘Ain. Oleh itu,sekiranya kamu diminta agar mandi,maka hendaklah kamu mandi.”
Riwayat Muslim.
Pandangan Para Alim Ulama Berkaitan Penyakit ‘Ain
Berdasarkan pandangan al Hafiz Ibnu
Kathir rahimahullah, musibah dan pengaruh penyakit ‘ain sememangnya benar
sekiranya diizinkan Allah SWT.
Selain itu, al Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah
juga berpendapat bahawa penyakit ‘ain sememangnya benar. Setiap renungan itu
kadang-kadang berlaku dengan baik dan kadang-kadang dengan niat hasad (dengki).
Hasilnya boleh memudaratkan orang yang direnung.
Berdasarkan petikan buku Rawatan
Penyakit Akibat Sihir,dalam bab Penyakit ‘Ain,Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din
mengemukakan beberapa pendapat antaranya;
“Ada juga pendapat yang menyatakan
bahawa ‘ain berlaku daripada pandangan yang penuh dengan kekaguman tetapi tidak
disertai hasad dengki,bahkan kemungkinan juga boleh berlaku terhadap
orang-orang yang soleh. Oleh itu, apatah lagi jika pandangan yang tajam itu
disertai dengan perasaan hasad dengki yang boleh mendorong kepada terjadinya
perkara buruk kepada orang yang ditujunya”
2 Jenis Penyakit ‘Ain
Abi Said al Khudriy r.a. telah
berkata yang bermaksud:
“Rasulullah SAW pernah berdoa memohon
perlindungan dari terkena panahan ‘ain si jin dan manusia. Akan tetapi selepas
turunnya al Muawwizat,(surah al Falaq dan an Naas),baginda terus menggunakan
ayat tersebut sebagai ilmu pendinding panahan ‘ain tersebut dan meninggalkan
kesemua yang lain. Riwayat at Tarmizi disahkan oleh al Albaaniy dalam shahih
Ibnu Majah (2830).
Ibn Qayyim al Jawziyyah menyatakan
terdapat dua jenis penyakit ‘ain iaitu penyakit ‘ain Insaniyyah yang berasal
daripada manusia dan penyakit ‘ain Jinniyyah iaitu yang berasal daripada
pengaruh jin dan syaitan.
Beberapa Kisah Berkaitan Penyakit ‘Ain
Pernah satu masa pada zaman
Rasulullah SAW, Sahl ibnu Hunaif mandi di kawasan wadi, Amir ibnu Rabi’ah yang
berada bersama telah terpegun dengan keindahan rupa tubuh Sahl yang putih dan
sasa dan beliau terus berkata: ‘aku tidak pernah melihat keindahan rupa tubuh
badan yang gebu dan putih melepak selain apa yang aku lihat pada hari ini.’
Tiba-tiba sahaja tubuh badan Sahl ibnu Hunaif menjadi sejuk panas hingga
bertambah serius dan tidak boleh mengangkat kepala. Setelah diberitakan kepada
Rasulullah SAW tentang hal ini, Rasulullah
memanggil Amir ibnu Rabi’ah seraya member peringatan yang bermaksud:”Apakah
sebabnya seseorang kamu it sanggup membunuh saudaranya?Ingatlah! Lain kali
hendaklah menyebut doa keberkatan. Sekarang, mandilah supaya dapat
disembuhkan.”
Benteng Diri Daripada Panahan Penyakit ‘Ain
Kaedah yang boleh digunakan untuk
membentengi diri adalah melalui amalan membaca surah al muawwizat (surah al
Falaq dan an Naas)setiap hari. Selain itu,membaca doa penggerak boleh dijadikan
benteng untuk menghalang daripada terkena penyakit ‘ain sebanyak 3 kali pagi
dan petang insyaAllah.
Terdapat juga bacaan yang mesti
disebut apabila kita merasa kagum melihat sesuatu untuk mengelakkan apa yang
kita lihat terkena panahan dari mata kita (penyakit ‘ain). Antara bacaan yang
elok dibaca ialah ‘La haula wala quwwata illa billah’ , ‘Baarakallahu fiik’ ,‘Allahumma
baarik ‘alaih’.
Seterusnya, sebaiknya kita hendaklah
sentiasa dalam keadaan suci dari hadas dan begitu juga dengan pakaian yang
dipakai. Moga melalui amalan yang dilakukan mampu mengelakkan diri dari terkena
penyakit ‘ain insyaAllah.
Kaedah Merawat Penyakit ‘Ain
Meletakkan tangan perawat ke atas
kepala pesakit sambil membaca doa ini sebanyak 5 atau 7 kali:
Ya Allah Tuhan semua manusia, Yang menghilangkan
penyakit, sembuhkanlah kerana hanya engkaulah yang dapat menyembuhkannya, tidak
ada yang dapat menyembuhkan kecuali engkau, kesembuhan yang tidak dihinggapi
penyakit lagi"[Hadith Riwayat Al-Bukhaari].
Atau membacakan doa ini sebanyak
3,5,7,9 kali sambil tangan diletakkan di atas kepala pesakit:
"Dengan nama Allah, aku menjampimu, dari segala sesuatu penyakit engkau, dari setiap jiwa
atau mata yang merasa dengki; semoga Allah
menyembuhkan penyakitmu, dengan nama Allah, aku menjampimu." [Hadith riwayat Muslim].
Sambil mendoakan pesakit,pesakit juga
dianjurkan untuk meminum air yang didoakan perawat dengan doa tadi. InsyaAllah, dengan ikhtiar
serta keyakinan tentang kesembuhan dari Allah,moga-moga akan membuka jalan
kesembuhan kepada pesakit yang terkena penyakit’ain. Wallahu’alam…..