27 Jun 2012

Didik Diri Mencintai Ilmu


 
     Jadilah orang yang belajar. Selamanya kehidupan hamba di atas muka bumi Allah ini, pasti tidak akan dapat dipisahkan dengan ilmu. Bukankah mengenal Allah perlu kepada ilmu? Bukankah menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah juga perlu kepada ilmu? Justeru, mengapa kita suka menjadi orang yang sombong? Sombong dengan keupayaan diri tanpa merasa perlu kepada ilmu?  Sombong dengan ilmu yang ada tanpa mahu berkongsi kepada orang lain? Apalagi kebaikan yang dapat dilakukan jika tidak belajar ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain?

Dalam Al-Quran Allah berfirman yang bermaksud ” Katakanlah anak Adam adakah sama antara orang yang berilmu dengan yang tidak berilmu.. .sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”  (Az-Zumar ayat 9)

     Hakikatnya, kehidupan manusia pada hari ternyata sudah tidak keruan. Yang dangkal terus dengan kedangkalannya, yang bijak pula leka dengan kebijaksanaannya hingga lupa untuk membantu saudaranya keluar dari kejahilan. Yang sombong terus dengan kebongkakan sebagai ahli ilmu yang mempunyai pemikiran yang tajam serta ilmu yang luas,merasakan  diri tidak utuh untuk bersama dengan golongan yang kurang. Yang malas lena dengan kebanggaan yang dirasakan menjadi hak miliknya tanpa berusaha untuk menampung kekurangan yang ada.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Barangsiapa ditanya mengenai sesuatu ilmu lalu disembunyikannya maka Allah akan mengekangnya nanti dengan kekangan daripada api neraka pada Hari Kiamat kelak.
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi).

     Setiap detik waktu yang berlalu, pasti akan ditanya oleh Allah swt di hari akhirat nanti. Maka pada waktu itu, apalagi alasan yang tercipta untuk dihujahkan di hadapan Allah swt?  Ke mana dibawa dan digunakan umur yang panjang itu? kepada kebaikankah atau keburukan? Mencari ilmu untuk mengenal Allah atau menuju tempat maksiat menjauhi Allah? Tentu sekali pada detik itu, setiap yang merugikan dirinya melalui kesibukan dunia akan terus kecewa dan kecewa mengharapkan dihidupkan kembali ke dunia untuk membaiki segala kesilapan lalu.

Ilmu sekiranya diamalkan, maka ia akan bertambah, namun jika wang ringgit jika kita belanjakan, pasti dan pasti ia akan berkurangan dan habis. 

Ilmu tidak perlu kita pelihara, sebaliknya ilmulah yang memelihara kita namun harta perlu kita pelihara daripada pencuri.

Orang yang berilmu mengaku dirinya Hamba Allah, sedangkan orang yang berharta mengaku dirinya pemilik.

Kata-kata dari Saidina Ali Bin Abi Talib r.a.

     Selagi diizinkan Allah swt untuk hamba-Nya merasai nikmat yang dikurniakan Allah, manfaatkanlah diri sebaiknya. Kejarlah ilmu kerana jika kita tidak mengejarnya, kita akan ketinggalan. Jika kita mensiakannya, kita akan kerugian. Beruntung bagi yang memanfaatkan ilmunya itu walau hanya melalui dua patah kata. 

Sesungguhnya Allah akan meninggikan orang yang beriman di antara kalian dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat (terjemahan dari Surah Al-Mujadalah, ayat 11)



16 Jun 2012

Keikhlasan Perjuangan Anas bin Nadhr r.a


     Anas bin Nadhr merupakan salah seorang sahabat Rasulullah saw. Keikhlasan perjuangan beliau bermula setelah beliau tidak dapat menyertai peperangan Badar. Beliau bersedih hati atas perkara itu dan mengutuk dirinya sendiri dengan berkata, “Badar ialah peperangan pertama dan agung dalam Islam sedangkan engkau tidak dapat menyertai peperangan itu.”



     Setelah itu, beliau menanam azam untuk turut bersama Rasulullah dalam peperangan seterusnya sebagai memenuhi tuntutan semangatnya untuk berjuang demi Islam. Kemudian, setelah tibanya peperangan kedua iaitu perang Uhud, maka dengan penuh rasa semangat yang berkobar-kobar dan dengan sifat kepahlawanan, beliau turut sama menyertai peperangan itu. 

     Sejarah mencatatkan bagaimana kisah yang berlaku dalam perang Uhud itu benar-benar memberikan pengajaran kepada umat Islam akan kepatuhan kepada ketua dalam sesuatu tindakan. Kemenangan yang hampir sahaja diraih umat Islam dalam peperangan tersebut telah direnggut oleh kumpulan musuh kafir quraisy yang sedar akan sikap tidak sabar beberapa ahli pasukan pemanah yang ditempatkan di atas bukit. Arahan Rasulullah saw sebelum berlakunya peperangan itu jelas, “selagi saya tidak beri arahan,kamu semua jangan tinggalkan bukit itu kerana musuh mungkin akan menyerang dari tempat itu”.  Itulah kebijaksanaan dan strategi yang diaturkan oleh Rasulullah saw. Tetapi kerana ada sedikit sifat inginkan harta, maka sebilangan dari mereka yang berada di atas bukit telah turun untuk mendapatkan harta rampasan perang tanpa mempedulikan teriakan ketua pasukan mereka. “ini ialah larangan Rasulullah saw,kamu jangan tinggalkan tempat ini”. Pada masa itulah tentera musuh telah mengambil peluang dengan berpatah balik menuju ke arah tentera Muslimin yang sedang leka itu. Akibatnya, berlakulah kekusutan dan kucar kacir yang akhirnya menyaksikan ramai sahabat yang syahid. 



     Antara yang syahid itulah Anas bin Nadhr. Keberanian beliau yang menyerbu ke arah kumpulan tentera kafir dengan pedang yang terhunus di tangan. Selagi tidak syahid, tidak akan ada jalannya untuk beliau pulang. Maka, setelah beberapa lama bertempur, maka gugurlah Anas bin Nadhr. Syahidnya seorang sahabat yang meninggalkan lebih 80 liang luka pada badannyaakibat terkena pedang dan anak panah. Saudara perempuan beliau sahaja yang dapat mengenalinya melalui hujung jari beliau. Antara kata-kata beliau kepada seorang sahabat yang bernama Sa’ad bin Ma’az sewaktu menuju ke medan Uhud,”wahai Sa’ad, ke mana engkau hendak pergi? Demi Allah,keharuman syurga sedang datang dari arah bukit Uhud.”  Begitulah berakhirnya kisah kehidupan seoarang sahabat Rasulullah yang cintakan syahid di jalan Allah. Syahidnya beliau merupakan kerehatan beliau untuk bertemu Allah dan bersama Rasulullah saw di akhirat kelak.

15 Jun 2012

Sebaik Peranan dalam Menjaga Rahsia Rumah Tangga


Bismillah wal hamdulillah.

     Terasa kejang jari jemari tatkala sudah lama membeku dan terasa keras papan kekunci yang ditekan-tekan untuk membina bait-bait suara hati dan perkongsian. Mungkin kerana sudah lama tidak melatih jari-jari ini untuk menghayun lembut pada papan kekunci yang memang sedia untuk menyambungkan bahagian-bahagian simbol serta huruf yang ditaip timbul ke paparan skrin.

     Hari-hari yang dilalui, banyak mengajar hamba-Nya untuk terus memahami isi tersurat dan tersirat disebalik setiap apa yang telah diatur. Sememangnya, setiap apa yang ditakdirkan itu, terkadang tidak terduga apatah lagi oleh diri yang serba kekurangan dan banyak kekhilafan. Dalam mengkoreksi diri untuk membina tampungan sebagai penutup lompang,tentu sekali perlu kepada cermin yang mampu menunjukkan segala kelemahan itu.  Dan sebaik cermin itu biarlah seperti cermin istimewa yang mampu membayangkan kelemahan pada diri tetapi menutup kelemahan itu di hadapan orang lain agar tidak ternampak dan tidak terlihat oleh mata-mata yang tentu sekali mempunyai pelbagai tafsiran baik dan buruk.

     Begitulah perumpamaan yang boleh dikaitkan dengan tanggungjawab dalam kehidupan berumah tangga. Tanggungjawab yang menuntut kefahaman dalam diri suami dan juga isteri supaya masing-masing jelas akan peranan dan tugas yang perlu dijaga, ditentukan dan dilaksanakan. Mudah untuk menuntut perlindungan, tetapi bukan mudah untuk menjadi pelindung. Mudah untuk mencari kelemahan, tetapi bukan mudah untuk menjaga kelemahan dan kekurangan itu dari tersebar. Itulah lemahnya manusia, melainkan mereka yang mengerti apa itu yang dikatakan suami itu pakaian bagi isteri dan isteri pakaian bagi suami. Itulah antara amanah dan tanggungjawab besar bagi pasangan suami isteri.

Firman Allah SWT dari surah al-Baqarah, potongan ayat 187 yang bermaksud:

               'Mereka adalah pakaian bagimu dan kamu adalah pakaian bagi mereka'. 

     Itulah gambaran yang menunjukkan betapa pentingnya peranan suami dan isteri untuk menjaga redha Allah dalam kehidupan berumah tangga melalui penjagaan rahsia dan hak masing-masing. Oleh itu, setiap pasangan perlu kepada kefahaman ilmu agama untuk mempersiapkan diri melayari bahtera hidup yang dibina.

     Jangan pula nanti, si suami atau si isteri dengan mudahnya mendedahkan keburukan pasangan masing-masing. Kadang-kadang, si suami mengeluh,
 "peningnya kepala aku,isteri aku buat hal lagi dekat-dekat nak raya ni,macam-macam dimintanya".

 Atau mungkin juga si isteri yang berkata,
 "suami aku bukannya tolong aku pun kat rumah,sibuk dengan kawan-kawan dia saja". 

     Sedar atau tidak,dengan kata-kata keluhan seperti itupun telah membuka aib dan menyebarkan kekurangan diri pasangan masing-masing dan seterusnya, secara tidak langsung pasangan tersebut sedang mempamerkan apa yang berlaku dalam rumah tangga mereka.

     Oleh itu, berusahalah untuk menjaga amanah dan tanggungjawab masing-masing dengan sebaiknya. Berusahalah untuk menjadi sebaik pakaian kepada pasangan masing-masing. Pakaian yang bukan sahaja menutup aurat, malah memberi keselesaan kepada si pemakai. Juga berusahalah untuk menjadi sebaik cermin kepada pasangan, cermin yang bukan sahaja mampu memperlihatkan kelemahan dan kekurangan pasangan, malah cermin ajaib yang bisa menukarkan yang buruk itu kepada yang baik. InsyaAllah........



     Buat jauzati, insyaAllah dirimu adalah sebaik cermin dan pakaian buat diri ini, dan akan ku cuba untuk menjadi lebih baik buat dirimu.... Allahumma baariklanaa ya Allah....



20 April 2012

Baitul Muslim : Zuhud Seorang Pemuda


     Masih teringat pada satu kisah berkaitan perjalanan hidup sahabat rasulullah SAW yang diceritakan oleh seorang ustaz dalam satu kuliah zuhur yang pernah dihadirinya. Dia benar-benar lupa apa nama sahabat tersebut, tetapi pengajaran yang terdapat dalam kisah sahabat Nabi SAW itu masih terbayang-bayang dalam mindanya.

     Terdapat seorang pemuda pada zaman Rasulullah SAW,yang baik dan rajin beribadah. Suatu hari, pemuda tersebut datang menemui Rasulullah SAW dan menyatakan hajatnya dan meminta pandangan daripada Rasulullah untuk mengahwini seorang gadis yang solehah. Maka Rasulullah pun memberi kebenaran kepadanya. Setelah mendengar kata-kata Rasulullah,maka pemuda tersebut menemui wali gadis tersebut iaitu bapa kepada gadis yang dihajatinya. Maka dinyatakan hasrat hati pemuda itu untuk mengahwini anak gadis  lelaki tersebut. Pemuda tersebut tidaklah selembut Abu Bakar,tidaklah segagah Umar al-Khattab, tidak sekaya Abdul Rahman bin Auf dan tidak pula setampan Ali bin Abu Talib. Maka ditolak permintaan pemuda tersebut kerana dirasakan tidak sepadan pemuda itu untuk mengahwini anak gadisnya yang ternyata menjadi buruan para pemuda lain.

     Setelah itu,pulanglah pemuda itu  dengan hampa kerana hajatnya itu tidak diterima oleh bapa si gadis. Ternyata, perasaan hampa pemuda itu jelas terlihat pada wajahnya dan pemuda tersebut datang menemui Rasulullah untuk memberitakan bahawa hajatnya itu ditolak. Mendengar khabaran tersebut,maka Rasulullah SAW sendiri menemui wali gadis tersebut dan mengatakan bahawa,”sesungguhnya aku membawa pinangan dari seorang pemuda untuk anak gadismu”. Bapa gadis itu bertanya,”siapa pemuda tersebut?” Rasulullah menjawab,dialah pemuda yang engkau tolak pinangannya.” Mendengar kata-kata Rasulullah,lantas membuatkan bapa gadis itu terkejut lantas bapanya mendapatkan anak gadisnya. Maka, gadis yang solehah itu berkata pada bapanya,”tiada pinangan yang lebih baik daripada pinangan yang dibawa oleh Rasulullah sendiri.” 

     Mendengar kata-kata anak gadisnya yang yakin akan kebenaran dan barakah yang dibawa oleh Rasulullah,maka fahamlah bapanya bahawa anak gadisnya sedia menerima pemuda tersebut sebagai suaminya.

     Maka bersatulah dua jiwa yang sama-sama ada cinta Allah dan Rasul di hati mereka. Berpadu dan bertambah kuat cinta mereka pada Allah dan Rasul. Pemuda yang soleh dan gadis yang solehah. Pada malam pertama selepas pernikahan, si isteri pun mempersiapkan diri untuk menerima layanan dari tetamu istimewanya,manakala si suami,pemuda itu tadi terus berteleku di tikar sembahyang dengan  solat, zikir dan doanya sehinggalah si isteri itu terlena kerana terlalu lama menunggu.

     Malam kedua, seperti biasa si isteri yang faham,mungkin kerana kepenatan,maka suaminya tidak dapat bersamanya semalam. Masih setia menunggu suaminya itu, namun si suami masih memilih untuk berada di hamparan tikar sembahyang berbanding menikmati keselesaan hamparan tilam lembut yang selayaknya sebagai pengantin yang dirai. Perkara tersebut berlanjutan sehinggalah ke malam yang ketiga. Maka dengan rasa tertanya-tanya terhadap sikap suaminya, si isteri menyampaikan khabar suaminya kepada Rasulullah kerana inginkan kepastian. Masakan seorang suami yang sangat ingin berkahwin dengan wanita yang dihajatinya, seolah-olah membiarkan sahaja isterinya itu setelah mendapat apa yang dihajati. Apakah benar tindakan yang dilakukan seorang lelaki soleh terhadap isterinya? Berbagai-bagai pertanyaan timbul di benak fikiran isteri. Setelah khabar tersebut sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW. Maka Rasulullah SAW datang menemui pemuda tersebut lantas bertanya tentang kesahihan apa yang diketahui Baginda SAW. 

“Apakah benar selama kau berkahwin dengan isterimu,kau membiarkan dia keseorangan pada waktu malam sedangkan kau berada di tikar sembahyang?” Tanya Rasulullah SAW.

“Benar wahai Rasulullah.”

“Mengapa kau tidak tunaikan hak yang sepatutnya isterimu nikmati?”

Maka pemuda itu menjawab pertanyaan Rasulullah dengan tenang.

“Wahai Rasulullah, aku baru sahaja bernikah, dan aku hanya mengambil beberapa malam bermula aku dinikahkan untuk bersama Allah,mengabdikan diriku sepenuhnya kepada Allah yang sangat aku kasihi dan cintai,juga sebagai tanda syukurku kepada Allah atas anugerah-Nya mengurniakan aku seorang isteri yang solehah lagi cantik akhlak dan budinya.”

Mendengar jawapan itu, terlakar pada riak wajah Rasulullah tanda puas hati dan yakin dengan jawapan yang diberikan pemuda tersebut.

     Masya-Allah,betapa hebatnya jiwa seorang pemuda. Pemuda yang sentiasa tertaut hatinya kepada cinta Allah. Pernikahannya itu benar-benar ikhlas kerana Allah. Mengharapkan semaian cinta Allah melalui pernikahan.

4 April 2012

Untaian Cinta Bersendikan Syariat….


Bismillah wal hamdulillah…


Insya-Allah perkongsian kali ini,lebih berkisar tentang perjalanan menuju cinta. Cinta dua insan yang terpahat cinta Allah di hatinya. Perjalanan cinta halal pada yang berhak ke atasnya. Kerana di situlah bermulanya sebuah kehidupan yang baru. Aturan perjalanan hidup yang mungkin tidak banyak berubah,namun perlu kepada pemahaman dan perkongsian. Kehidupan berdua yang perlukan sandaran cinta Allah yang tinggi dalam meraih erti sebenar cinta kepada yang berhak.


Alhamdulillah,saat lafaz yang terucap itu diterima wali dan saksi. Terlihat jelas kegembiraan pada wajah-wajah yang selama ini mengharapkan sinar kehidupan diri ini dalam berumah tangga. Saudara mara serta sahabat-sahabat yang mendengar dengan penuh khusyuk,abah dan papa yang mulanya tunduk dan kebimbangan, jelas terpancar sinar kegembiraan saat diri ini sah menjadi suami kepada seorang isteri. Lafaz yang menerangkan tentang kebersediaan diri menjadi penanggung kepada segala kelemahan isteri jika tidak dibaiki,lafaz yang menjadi saksi kepada diri ini yang wajib menerima satu lagi amanah yang perlu dijaga dan dipelihara selain amanah dan tanggungjawab kepada ‘umi’ dan dua adik perempuan,’kakak’ dan ’adik’. Saat imam membacakan doa, terasa air mata mengalir laju, membasahi pipi dan jubah yang dipakai,terus diangkat tangan dengan lebih tinggi,supaya tidak disedari saudara-mara di sekeliling. Ya Allah, terasa diri tidak layak dilayan sebegini,terasa nikmat yang dipinjamkan ini terlalu besar,dan amanahnya juga terlalu besar. Tiada kata yang mampu diucapkan melainkan rasa syukur yang sebesar-besarnya. Lantas teringat kembali beberapa kisah,dan ujian serta dugaan Allah dalam persiapan diri menuju hari pemulaan cinta ini. Ya, inilah hari pemulaan bagi perjalananku menuju cinta Allah bersama isteri, dan hari pertama menuju kepada cinta yang halal bagi diri.


Masih teringat tatkala kali terakhir menggelarkan diri ini dengan gelaran ‘ana’ dan ‘enti’ kepada isteri. Saat selesai sahaja lafaz ijab dan qabul dan doa dari imam. Ada suara yang sangat dekat berkata, “bawa hadiah ni kepada isteri”. Tanpa banyak bicara, kaki ini terasa ringan melangkah menuju ke tempat muslimat. Saat itu,hati hanya fokus padanya dan mata mencari-cari tempat yang terbaik untuk direbahkan lutut walaupun dalam keadaan yang agak malu. Namun dikuatkan juga kaki melangkah, kerana diri terasa yakin. Inilah kali pertama kaki ini melangkah dengan yakin dan pasti untuk mendapatkan seorang Muslimah yang selama ini terasa diri tidak mampu mengangkat pandangan ketika berselisih dengannya,keras dan tegas ketika berbicara dengannya walaupun berkaitan dengan tanggungjawab dakwah semasa di kampus. Kerana hati itu lebih penting untuk dijaga. Jika hati sudah terpalit denga rasa keindahan yang bukan pada tempatnya, tentu sekali akan mengganggu dan membantutkan pergerakan dalam segala gerak kerja. Dengan suara yang sedikit berbisik kerana malu dengan tetamu dan kenalan semasa pernikahan;

“Bismillahirrahmaanirrahim,ini pemberian ana (mahar) untuk enti”.

Muslimat itu yang mulanya tunduk,mengangkat pandangan. Terasa diri ini dipandang sedalam-dalamnya melalui hati. Inilah kali pertama diri ini merasakan dipandang dengan penuh kasih sayang dari seorang isteri. Pandangan kasih sayang antara suami dan isteri,insya-Allah, akan dipandang dengan kasih sayang Allah.


“Kita solat” kata zaujah.

“ya,insya-Allah.. Kita solat di depan sana”diri ini membalas kata-katanya.


Subhanallah, benarlah suami itu imam kepada isteri. Seperti mana amanah dan tanggungjawab seorang imam dalam memandu solat yang dikerjakan, diri ini terasa seolah-olah amanah dan tanggungjawab pemimpin keluarga itu hidup. Mula menjalar dan menyelinap masuk ke dalam diri dan jiwa. Ya Allah, aku kini suami kepada isteriku,aku ketua kepada keluarga yang aku bina. Aku pemimpin kepada isteriku. Terasa berat amanah itu membahang. Terus ketakutan dan kebimbangan timbul dari dalam diri, mampukah aku menjadi suami yang soleh untuk isteriku? Mampukah aku membantu isteriku menjadi isteri yang solehah? Mampukah aku menjadi imam yang dapat memandu isteriku? Mampukah aku menjadi pemimpin yang baik kepada keluarga yang mula aku bina? Terasa diri ini lemah,dan tiada upaya untuk menjunjung segala titah perintah Allah SWT dalam menjalankan tanggungjawab. Terasa kerdilnya diri. Namun dikuatkan juga hati ini. Aku mesti bersedia, dan berusaha menjadikan yang sebaiknya dalam kehidupan berumah tangga. Letakkan Allah di hadapan, jaga syariat Allah,maka Allah akan menjaga kita, utamakan cinta Allah dan Rasulullah,maka Allah akan titipkan cinta yang tulus antara hamba-Nya,letakkan segala-galanya dalam jagaan Allah,kerana Allahlah sebaik-baik penjaga...


Hari Pertama Menuju Cinta bersama Zaujah, 19 Rabi’ul Akhir 1433Hijrah, 12 Mac 2012