23 Januari 2012

Carilah Makna Kehidupan



Kadang-kadang kita lupa. Kita sentiasa melengkapkan keperluan untuk hidup, tetapi pada masa yang sama, tidak ramai yang melengkapkan kehidupan dengan keperluan yang ada. Kita sanggup berpenat lelah mencari segala apa yang tiada, selagi terdaya,terus mencari semata-mata memenuhi tuntutn fizikal hidup seperti harta kekayaan, pangkat, nama, pengaruh yang ramai, sehingga terlupa untuk memahami tugas sebenar hidup kita untuk apa.

Tidak salah sebenarnya untuk mencari dan memungut hasil yang dikurniakn Allah swt. Tetapi, berapa ramai yang benar-benar  mengerti maksud antara mencari makna hidup dengan hasil yang diperoleh dengan menjadikan kehidupan lebih bermakna dengan apa yang diusahakan. Tentu sekali ramai yang akan memilih menjadikan kehidupan lebih bermakna dengan hasil yang diusahakan. Barangkali itulah perjuangan kita. Kita merasakan itulah pengorbanan yang dilakukan iaitu dengan berusaha mendapatkan sesuatu hasil dengan lebih tekun supaya hidup lebih tenang dan membahagiakn. Oleh itu, bagaimana jika apa yang diusahakan selama ini tidak berhasil? Bagaimana jika pengorbanan yang dilakukan selama ini tidak mendapatkan sesuatu seperti yang diharapkan? Adakah itu bermakna kehidupn kita tidak akan bermakna jika tiada hasil yang diusahakan? Jadi, tentu sekali ada yang tidak kena pada prinsip itu. 

Oleh itu, mari kita tukar prinsip itu. Tidak salah jika kita ingin menjadi lebih baik dengan mengubah prinsip hidup,dan menjadikannya lebih baik. Itu tandanya kita orang yang rasional. Rasional dalam memilih dan membuat keputusan. Dan prinsip yang sesuai adalah daripada menjadikan kehidupan lebih bermakna dengan hasil yang diusahakan kepada mencari makna kehidupan dengan hasil yang diperoleh. Jika diteliti perkatannya, nampak agak mudah, tidak jauh dari prinsip asal, tetapi maksudnya sangat berbeza.

Mencari makna kehidupan dengan hasil yang diperoleh. Kenapa perlu mencari makna kehidupan? Bukankah sepatutnya menjadikan kehidupan lebih bermakna itu lebih baik? Jawapannya, setiap apa yang diberikan Allah itu,melalui setiap perkara dalam kehidupan itu sebenarnya sudah bermakna buat kita. Masakan Allah tidak tahu apa yang terbaik buat kita? Masakan Allah tidak mampu merencanakan apa yang terbaik buat kita? Dan tentu sekali aturan hidup yang direncanakan Allah itu, ada hikmah di sebaliknya. Bukankah itu bermakna Allah swt menetapkan sesuatu itu untuk menjadikan kehidupan kita lebih bermakna? Jadi,apa tugas kita pula? 

Setiap yang berlaku, setiap yang kita dapat, tentu sekali tidak terhenti di situ, maka menjadi tugas kita pula untuk mencari makna kehidupan di sebalik pemberian dan dugaan  Allah yang tersirat itu. Dengan itu, seterusnya akan menjadikan kita ini hamba dan secara tidak langsung meletakkan Allah itu di hadapan kita walau dalam apa keadaan sekalipun juga menjadikan kita hamba yang sentiasa berfikir. Bukan untuk mencari silap dan kelemahan Allah, kerana Allah itu Maha Kuasa, tiada kelemahan atas sifat Allah. Sebaliknya sebagai muhasabah buat diri, mencari kelemahan dan kekurangan diri supaya dapat dibaiki segala kekurangan itu. Contohnya, jika diuji dengan harta,kekayaan,maka carilah rahsia di sebalik pemberian Allah itu,dan jika diuji dengan kesusahan dan keperitan,maka tentu sekali ada sesuatu yang menjadi rahsia di sebaliknya yang perlu diselongkar selain itu, perkara yang lebih penting adalah menjadikan kita orang yang bersyukur atas pemberian Allah kepada kita. Berasa cukup dengan nikmat pemberian-Nya serta redha dengan segala ketentuan-Nya. Sesuailah dengan maksud prinsip tadi iaitu, mencari makna kehidupan dengan hasil yang diperoleh. Oleh itu, ayuh kita dalami kehidupan ini,kerana kehidupan itu terbina atas apa yang kita lakukan, dan apa yang  Allah aturkan. Wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan