''Moga bingkisan dari coretan ini mampu menyedarkan aku akan hakikat kehambaan kepadaMu.''
5 November 2011
Hidup atau Mati? Pesan Pada Hati....
"Cikgu, boleh nasihatkan saya?"
"Maksudmu?"
"Supaya saya lebih dekat dengan Allah.Akhir-akhir ni saya rasa jauh dari Allah..."katanya dengan nada serius.
Guru itu memandang anak muridnya itu. Nampak benar kesungguhannya. Kegelisahan pada raut wajahnya menunjukkan seolah-olah dia kehilangan sesuatu. Mungkin dia dapat rasakan kehilangan itu dan mencarinya semula. Subhanallah. Tutur kata dan bicaranya membuatkan guru itu terasa sangat rendah. Rendah hatinya tatkala berhadapan dengan muridnya itu. Apa tidaknya, dalam usia sebegitu muda, sudah mula mengerti untuk memiliki rasa cinta dan ingin rasa dicintai Allah. Namun, itulah jiwa yang terdidik. Jiwa yang terdidik itu akan cuba mengembalikan semula rasa jauh kepada dekat, kosong kepada terisi, tawar kepada manis, dan lupa kepada rindu semata-mata untuk merasai cinta Allah swt.
Nafas ditarik dalam-dalam.
"Moga-moga butir bicaraku ini mampu menjadi suluhan dan pencerahan buat diriku dan anak ini", bisik hati guru itu.
"Kita sebenarnya sudah dekat dengan Allah. Sangat dekat, sehinggakan apa yang terdetik di hati kita pun tidak menjadi rahsia bagi Allah", guru memulakan bicaranya.
"Jiwa saya rasa kosong cikgu".
Sambil tersenyum, guru itu menyambung bicaranya.
"Itulah jawapannya". "Hati sebenarnya yang membuatkan kita jauh dari Allah. Namun hati juga boleh buat kita rasa dekat dengan Allah", guru itu meneruskan bicaranya.
"Untung orang yang hatinya dekat dengan Allah ya cikgu". "Tapi,macamana nak dekatkan hati kita dengan Allah?
"Kamu rasa?",guru itu bertanya semula pada muridnya.
"Banyakkan amal ibadah?"
"Em, benar. Tapi,adakah cukup dengan hanya banyakkan amal ibadah saja?"."Bagaimana pula jika kuantiti itu kurang kualitinya? Guru itu mula melemparkan soalan.
Pertanyaan itu membuatkan murid itu terfikir seketika.
"Dekatkan dirimu dengan Allah melalui perjalanan hati'.Tambah guru itu.
"Bagaimana caranya?". "Baik, hidupkan hatimu, kerana hati yang hidup sahaja yang mampu meneruskan perjalanan itu". Guru itu menerangkan lagi.
"Hati yang mati, tentu sekali tidak dapat meneruskan perjalannya, lebih-lebih apabila hati yang mati itu kerana tiada Allah bersamanya". "Jika masih dapat meneruskan perjalanan sekalipun, tentu sekali perjalanan itu akan payah kerana tiadanya panduan dari Allah swt".
"Mudah tak kita nak hidupkan hati kita cikgu?"
"Baik,berdasarkan hukum kehidupan manusia yang ditentukan Allah, apa yang paling diperlukan untuk kita teruskan hidup?"
"Makan". Murid itu menjawab.
"Makan makanan yang halal,bersih dan menyihatkan tubuh badan", guru itu menambah.
"Konsepnya sama juga dengan hati kita"."Banyakkan beramal ibadah, amalan-amalan soleh dan segala perkara yang boleh buatkan kita ingat pada Allah. Itulah makanan yang menghidupkan hati, manusia hidup dengan nyawa,hati hidup dengan cahaya".
"Tapi, jika disemai dengan perkara maksiat,itulah racun yang akan membunuh hati". Panjang lebar guru itu memberikan penjelasan kepada muridnya.
"Oh, jadi maksud cikgu, selain amalan yang wajib, perbanyakkan juga amalan sunat supaya dapat hidupkan hati kita?"
"Tentu sekali. Amalan sunat itu sebagai satu cara mendidik dan membersihkan hati. Jadi, bagaimana pula caranya untuk terus hidupkan hati yang bersih dan terdidik itu?"..."ada caranya".
"Caranya?", murid itu bertanya.
"Cuba pejam mata, apa kamu nampak?"
"Gelap". Sambil memejamkan matanya,menurut arahan gurunya itu.
"Buka mata", "Apa kamu nampak?"
"Saya nampak cikgu", sambil tersenyum.
"Kenapa boleh nampak cikgu?"
"em....sebab saya buka mata?".
"...dan sebab ada cahaya bukan?", "Kalaulah kamu berada dalam bilik gelap sambil terbuka mata sekalipun, tentu sekali tak dapat lihat apa yang ada di sekeliling kamu".
"Oh, iyalah cikgu".
"Jadi, mudahnya, kita dapat lihat semua benda di sekeliling kita kerana adanya cahaya".
"Maksud cikgu?"
"Jadi, untuk hidupkan hati, letakkan semua apa yang berlaku kerana adanya Allah. Pandang semuanya atas pandangan hati. Apa yang kita lihat,dengar dan rasa semuanya dari Allah dan kerana adanya Allah". "Barulah kita akan rasa hidup bertuhan".
"Bila lihat pokok, ingat Allah. Hebatnya Allah jadikan pokok, waktu kecil dipijak orang, bila besar dicantas orang. Tapi pokok tak pernah mengeluh apatah lagi membalas tindakan yang diperlakukan kepadanya berbeza dengan kita manusia yang sering saja mengeluh bila diuji".
"Pandang makanan, Alhamdulillah. Allah masih beri kita nikmat merasai makanan ini. Zalimnya kita jika tenaga yang diperoleh dari makanan yang kita makan tidak digunakan untuk urusan agama. Derhakalah kita jika tenaga dari makanan yang kita dapat tak digunakan untuk menambahkan amal ibadah dan bersujud pada Allah swt".
"Apabila kita ziarah orang sakit, muhasabah diri kita, ruginya kesihatan yang Allah kurniakan kepada kita jika mensia-siakan tanpa sebarang manfaat untuk perjuangan agama dan membantu orang yang memerlukan bantuan".
"Pandang langit, Subhanallah. Hebatnya kuasa Allah sehingga tak terjangkau oleh akal dan pemikiran hambanya. Bagaimana diciptakan langit tanpa tiang yang menongkat di bumi? Sedangkan kita hambanya tidak mampu berbuat apa-apa melainkan dengan izin dan kuasa Allah swt."
"Itulah caranya kita memandang setiap perkara itu dengan mata hati,supaya Allah sentiasa hadir dalam tindakan kita". "Sekarang kamu faham?"
"InsyaAllah cikgu, saya mula faham".
"Alhamdulillah. Jadi,ayuh kita mulakan sekarang".
"Mulakan sekarang? Bagaimana?"
"Bukankah bas sepatutnya ssampai jam 8 tadi?".Guru itu bertanya.
"Em,sepatutnya cikgu, tapi sekarang dah pukul 9, macamana dengan program kita cikgu?"
"Nanti tunggu Cikgu Umi datang,tapi gayanya,kita mungkin terpaksa batalkan program"."Mungkin ini kehendak Allah untuk kita."
"Betul juga cikgu, insyaAllah Allah tahu apa yang terbaik untuk kita kan cikgu"
"InsyaAllah".....
Perbualan murid itu bersama gurunya tertangguh setelah Cikgu Umi datang bersama satu khabar. Program ke Insitut Perguruan yang dirancang pada jam 8 malam itu terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Itulah hikmahnya percaturan Allah.
Moga kau temui Allah dalam buruan cinta-Mu,juga diberikan kekuatan untukku kerana aku juga pemburu cinta-Mu yang Agung.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan