10 Februari 2012

Berdakwah Melalui Akhlak

Ulama ulung, al-Imam Abdullah bin al-Mubarak mempunyai seorang jiran berbangsa Yahudi. Apabila beliau membeli daging atau buah-buahan, beliau akan menghadiahkannya kepada jirannya itu. Suatu hari orang Yahudi itu bermaksud menjual rumahnya, datanglah seorang yang hendak membeli. Dia berkata: "Harga rumahku ini dua ribu dinar, yang seribu adalah harga rumah dan seribu lagi harga berjiran dengan Ibnu Mubarak." Beliau amat terharu dengan perkataan jirannya itu, lalu diapun mendatanginya seraya berkata: "Ini seribu dirham untuk harga rumahmu dan engkau jangan menjualnya." Setelah peristiwa itu akhirnya Yahudi itu masuk Islam.

Saidina Ali pernah berkata: "Sesiapa yang mahu menguasai manusia, kuasailah hatinya." Para sahabat Rasulullah SAW memiliki kepakaran dalam mempengaruhi manusia, melembutkan hati dan menundukkan jiwa mereka kepada Islam. Rasulullah telah mendidik duta-duta Islam yang bertugas membawa ajaran agama ke luar Makkah. Salah seorang duta Islam yang pertama adalah Saidina Mus'ab bin Umair yang ditugaskan ke Madinah. Penyebaran Islam dilakukan dengan jalan damai dan persahabatan, bukan seperti yang didakwa para orientalis songsang bahawa Islam ditegakkan dengan mata pedang. Hakikatnya, peperangan yang terjadi dalam sejarah Islam adalah bersifat perang kerana membela diri.

Rasulullah SAW mengajarkan kelembutan dan akhlak mulia sebagai teras kecemerlangan dakwahnya. Terbukti ketika baginda membuka kota Makkah dan menawan penduduknya, saat itu kunci Kaabah telah dilarikan oleh pemegang amanahnya yang bernama Usman bin Talhah, seorang musyrikin. Keluarga Usman dipandang mulia kerana telah berkhidmat menjaga Kaabah secara turun temurun. Itulah warisan yang paling mahal dan berprestij bagi zuriat mereka. Dia menyeru dari atas bumbung Kaabah: "Sesekali takkan ku biarkan lelaki yang mengaku dirinya Nabi merampasnya daripadaku."

Lalu Saidina Ali bin Abu Talib memulas tangan Usman dan mengambil kunci itu. Kemudian datanglah al-Abbas bin Abdul Muthalib, bapa saudara Rasulullah SAW memohon agar kunci itu diserahkan kepada keluarga beliau. Ia merupakan satu penghormatan terbesar bagi sesiapa sahaja yang mampu berkhidmat kepada Baitullah. Namun Rasulullah SAW menyuruh Ali untuk mengembalikannya kepada Usman bin Talhah yang masih kafir dan nyata penentangannya kepada baginda SAW. Rasulullah juga menyuruh Ali meminta maaf kerana telah menyakiti tangannya.

Setelah menerima apa yang menjadi haknya Usman bin Talhah menyatakan dirinya masuk Islam. Beliau begitu terharu dengan sifat adil dan kasih sayang yang terserlah pada keperibadian Rasulullah SAW. Akhirnya semua orang kafir di Makkah menyerahkan dirinya kepada agama Allah. Dengan rasa tunduk mereka menginsafi diri betapa indah dan mulianya ajaran agama Allah ini.

Tetapi kini, persepsi terhadap kemuliaan Islam telah tercalar dengan peristiwa-peristiwa keganasan. Padahal ia adalah angkara manusia-manusia durjana yang tidak bertanggungjawab yang bertopengkan Islam. Sesungguhnya mereka telah keluar dari prinsip yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan diamalkan para sahabat dan tabiin dalam memperjuangkan agama Islam ini.

Bagaimanakah metod dakwah yang sesuai pada zaman yang serba canggih ini? Mengapa tidak dicuba dengan cara yang lebih bertamadun seperti persaingan dalam bidang sains dan ekonomi, politik dan budaya, pertahanan dan keamanan, kerana semua itu adalah media dakwah paling penting untuk diterokai generasi Islam saat ini.

Setiap muslim bertanggungjawab mempamerkan nilai-nilai Islam ketika berinteraksi dengan non-muslim. Kewajipan menyampaikan mesej Islam ini bukan terletak di tangan para pendakwah yang berlatar belakang pendidikan Islam sahaja, tetapi setiap individu muslim adalah pendakwah dengan bidang dan kepakarannya masing-masing.

Seorang artis adalah pendakwah jika dia mampu memberikan teladan yang baik kepada peminat-peminatnya, seorang ahli politik atau ahli perniagaan, wartawan atau budayawan diharapkan mampu menegakkan mesej Islam di medan yang diceburi, bahkan seorang angkasawan atau penjaga kedai sekalipun harus mempunyai kesedaran membela Islam di mana jua dia berada.

Cara yang paling sederhana dan mudah ialah tunjukkan akhlak Islam yang mulia, jujur dan amanah, sopan santun dan berbudi bahasa, adil dan bertanggungjawab, kasih sayang dan simpati, semua itu merupakan ciri-ciri Islam yang mesti diperjuangkan.

Al-Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa, pada suatu hari Ibnu Mas'ud RA pernah mengucapkan selamat (Salam) kepada seorang lelaki kafir yang menemaninya dalam pemusafiran. Beliau berkata: "Semoga kamu mendapat kebahagiaan dalam hidupmu." Lalu para sahabat bertanya mengapa beliau berkata seperti itu kepada orang kafir. Beliau menjawab: "Subhanallah, dia telah menemaniku dalam perjalananku sedangkan Allah berfirman: Dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia." Surah Al-Baqarah: 83

Senyuman dan kata-kata yang manis sudah cukup membuktikan bahawa Islam itu penyebar kasih sayang sejagat. Namun perlu diingat tentang masalah akidah dan kepercayaan yang tidak boleh sama sekali berlaku tolak ansur di dalamnya. Untukmu agamamu dan untukku agamaku, tapi kita masih boleh berkasih sayang dan berdamai.

  Sumber:
Jabatan Mufti Perlis

Tiada ulasan:

Catat Ulasan