11 Januari 2012

Jadikan Al-Quran Teman BicaraMu



Allah Maha Tahu akan keperluan hamba-Nya. Jesteru itu, dititipkan teman bicara buat hamba-Nya. Teman bicara yang pastinya tidak akan mengeluh dengan bicara hamba, juga pastinya akan menyimpan rahsia hamba, serta sentiasa saja mendengar dan memberikan nasihat yang baik kepada hamba yang inginkan dirinya dalam tarbiyah Allah. Itulah keagungan al-Quran. InsyaAllah, tentu saja beruntung bagi siapa yang menjadikannya sebagai teman bicara.


Oleh kerana teman bicara itu adalah titipan cinta Allah swt buat kita, maka seharusnya ada perasaan takjub serta mengagungkannya kerana ianya bukan sekadar teman biasa, malah teman yang boleh menjadi hujah kepada kita di akhirat kelak.
Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin ada berkata;

“seorang penghafal al-Quran ketika memulakan membacanya,maka sebaik-baiknya hendaklah ia menghadirkan di dalam hatinya keagungan Allah swt dan hendaklah ia sedar bahawa apa yang dibacanya itu bukanlah ucapan manusia”

Siapa lagi yang lebih baik perkataannya melainkan bait-bait yang terukir dalam kalam Allah? Jika memandang kepadanya sahaja mendapat kebaikan,apatah lagi membacanya, memahami terjemahannya, menyelongkar tafsiran dan huraiannya, serta mentadabbur dengannya. MasyaAllah, itulah tanda keagungan al-Quran.

Firman Allah sw yang bermaksud;

“Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) al-Quran yang serupa lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah dengan kitab itu Dia menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorangpun pemberi petunjuk baginya.”                                                                                                                                (az-Zumar:23)

Marilah kita sama-sama menjadikan al-Quran sebagai teman bicara kita. Tiada rujukan yang lebih baik selain al-Quran, tiada manual yang paling lengkap selain al-Quran dan tiada kata-kata yang lebih indah selain al-Quran serta tiada teman bicara yang paling setia melainkan al-Quran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan