13 Februari 2012

Bahaya Perasaan Ujub Dan Takabbur

Betapa halusnya suntikan jarum dari syaitan yang sedaya upaya mencacatkan amalan manusia sehinggakan kalangan manusia yang beribadah itu juga diganggu agar tercemar amalannya. Itulah penyakit ujub dan takabbur. Satu wabak yang bukan sahaja boleh menimpa sang penguasa yang angkuh dengan kehebatannya, malah kepada si abid yang sentiasa berteleku di tikar sembahyang. Itulah hakikatnya, dengan adanya sedikit perasaan ujub dan takabbur itu maka akan terus terpadam segala catitan kebaikan amalan yang dilakukan jika tidak terus ditepis dengan kesedaran dan iman yang tinggi.

Ujub adalah perasaan bangga diri yang terbit dari dalam diri tanpa ditunjukkan pada sesiapa sedangkan takbbur itu pula merupakan perbuatan atau kata-kata yang menunjukkan kebaikan dan kehebatan diri pada orang lain . Awasilah setiap tindakan dan perbuatan kita, ujub dan takabbur itu bukan sahaja berlaku dari kalangan mereka melakukan perbuatan yang mungkar, berbangga-bangga dengan kejahatan yang dilakukan, malah boleh juga menjadi barah kepada amal ibadah kita. Boleh jadi amalan yang disangka baik itu, apabila dipersembahkan kepada Allah Ta'ala di akhirat kelak akan hilang segala-galanya. Itulah kerugian yang tidak diduga setelah merasakan diri telah banyak melakukan amal kebaikan.



Terdapat beberapa perkara yang haruslah diteliti dan diperbaiki semula, agar lintasan hati kita dalam melakukan amal kebaikan sentiasa terelihara dan dapat dijaga InsyaAllah.

1. Ada perbuatan riak dibuat dengan cara menunjukkan kerajinan berpuasa sehinggakan dengan sengaja berada bersama dengan rakan-rakan yang sedang makan di sesuatu tempat. Supaya dikata orang sebagai bagus kerana berpuasa. (melainkan jika terpaksa menemani rakan yang keseorangan)

2. Menjaga kesopanan apabila bertutur dengan lemah lembut di hadapan khalayak sedangkan supaya kelihatan beradab,sedangkan apabila bersama keluarga, atau rakan-rakan yang biasa, semua itu tidak diambil kira.

3. Berpura-pura melakukan amalan yang banyak agar diri disangka warak. Tidak mementingkan keduniaan dan sering berhemah. Sedangkan di dalam hati memandang kepada dunia.

4. Ada juga takabbur itu ditunjukkan melalui kehebatan berceramah atau bersyarah dalam pelbagai majlis ilmu dan keraian, berpengetahuan dalam pelbagai bidang. Namun hakikatnya sering mencampurkan perkara baik dan buruk.

 5. Bercakap berdasarkan bukti dan kajian untuk menunjukkan bahawa diri mempunyai ilmu mantik yang tinggi, supaya diiktiraf kebijaksanaannya daripada orang ramai.

6. Seterusnya berpakaian seperti para alim, ahli ibadah, bertasbih di jari, berjubah dan berserban supaya dipandang baik oleh masyarakat. Pada masa yang sama. memandang dengan penuh kebencian dan prasangka pada mereka yang berpakaian biasa-biasa.

7. Ada yang menunjukkan perbuatan riak melalui amalan zikir, agar dikatakan orang sebagai seorang yang kuat bermunajat sedangkan di hati mempunyai azam untuk mencari pengaruh atau mendapatkan darjat yang baik pada pandangan manusia sebagai ahli zikir.

MasyaAllah, itulah sedikit sebanyak amalan yang baik pada zahirnya,tetapi mungkin ada cacat pada hati. Bukanlah tugas kita untuk menghukum seseorang atas amalan. Apa hak kita mengukur tahap keikhlasan seseorang dalam beribadah kepada Allah. Namun kita sebagai hamba Allah yang dikurniakan akal fikiran yang terbatas,perlu juga membuat penilaian sebaik mungkin agar diri tidak mudah terpengaruh kepada kebaikan amalan zahir yang dilakukan. Tidak juga melabelkan seseorang yang kelihatan indah akhlaknya pada zahir itu buruk pada batinnya. Cuma, cukuplah kita muhasabah dan membuat penilaian pada diri. Dibimbangi ada terdetik atau terbitnya lintasan hati yang boleh merosakkan amalan. Jika ada, maka tepislah dengan beristighfar kepada Allah dan membaiki semula niat ibadah kita. InsyaAllah,Allah Maha Tahu apa yang tersirat dalam hati setiap hamba-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan