30 November 2011

Teladani Akhlak Ummu Sulaim



     Ummu Sulaim, satu nama yang tidak asing sebagai para pendokong agama pada zaman Rasulullah saw. Rata-rata muslimah masa ini yang mencari sinar panduan dari sirah Rasulullah saw dan para sahabat tentu sekali akan mencari di mana dan apa rahsia kecantikan akhlaknya sehingga beliau mendapat tempat di syurga Allah swt.
Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda,
Aku masuk ke syurga lalu terdengar sebuah suara di hadapanku. Ternyata beliau ialah Al-Ghumaisha’ bintu Milhan”[HR Bukhari](Al-Ghumaisha adalah Ummu Sulaim)

     Beliau merupakan salah seorang wanita Ansar, dari kalangan sahabiyah yang mulia dan paling utama. Beliau menghimpunkan ilmu, kebijaksanaan, keberanian, kemurahan hati, kesucian peribadi dan keikhlasan yang tulus semata-mata bagi Allah dan RasulNya.

      Jiwa wanita yang bijaksana ini telah dipenuhi dengan iman dengan menghadirkan fenomena tersendiri yang menyaksikan kecemerlangan, kemuliaan dan kebaikan dirinya sepanjang zaman. Sahabiyah terbaik ini juga ialah ibu kepada seorang sahabat yang terbaik, yang mendapatkan kedudukan khusus di sisi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, iaitu Anas bin Malik. Abu Nu’aim Al-Asybahany mengungkapkan jati diri wanita ini dengan berkata, “Ummu Sulaim adalah wanita yang tunduk kepada keputusan orang yang dicintainya, yang biasa membawa tombak di dalam peperangan!”


Mahar Yang Tinggi Nilainya...

     Terlalu banyak pengajaran yang boleh dipetik daripada  kisah beliau. Sebagai permulaannya, memandangkan kini merupakan musim pernikahan, maka adalah baik jika pengajaran yang diambil dari kisah Ummu Sulaim ini berlegar tentang pernikahan dan mahar. Bersama kita ikuti kisahnya:

Selepas kematian Malik bin An-Nadhar, suami beliau yang tidak bersamanya memeluk Islam, maka Ummu Sulaim bertekad untuk menjaga anaknya Anas bin Malik sehingga besar. Sifat berpegang pada janjinya sendiri itu terbukti apabila beliau menolak beberapa lamaran dari beberapa lelaki. Namun, setelah anaknya cukup umur dewasa, maka Ummu Sulaim dilamar oleh Abu Talhah Al-Anshary yang merupakan seorang musyrik. Ummu Sulaim membuat pertimbangan yang sewajarnya dan berkata: 

Wahai Abu Talhah, lelaki seperti engkau tidak layak untuk ditolak. Tetapi engkau seorang kafir, sementara aku wanita muslimah dan tidak mungkin bagiku untuk menikahi engkau

Apa yang perlu kulakukan untuk tujuan itu?” tanya Abu Talhah.

Hendaklah engkau menemui Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam” Jawab Ummu Sulaim.

      Mendengar kata-kata itu, Abu Talhah segera menemui Rasulullah yang ketika itu sedang duduk di tengah-tengah para sahabat. Ketika melihat kehadiran Abu Talhah, baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, “Abu Talhah mendatangi kalian, dan tanda-tanda keIslaman tampak di antara kedua matanya”.    Abu Talhah menceritakan kepada Rasulullah apa yang dikatakan Ummu Sulaim. Akhirnya, Abu Talhah memeluk Islam di hadapan baginda dan para sahabat. Beliau juga bersetuju menikahi Ummu Sulaim dengan mahar keIslamannya. Ummu Sulaim berkata kepada anaknya, “ Wahai Anas, bangkitlah dan nikahkanlah Abu Talhah”.

Tentang kisah pernikahan yang diberkati ini, Tsabit bin Aslam Al-Banany, salah seorang Tabi’in berkata, “Kami tidak pernah mendengarkan mahar yang lebih indah dari maharnya Ummu Sulaim, iaitu Islam!” (Shifatush Shafwah, 2/66; Siyar A’lamin-Nubala’, 2/29).

      Firasat Ummu Sulaim terhadap Abu Talhah ternyata benar, sehingga beliau meraih kebahagiaan kerana kebaikan, keikhlasan dan kemuliaan suaminya. Abu Talhah juga berhak mengecap kebahagiaan kerana pernikahannya dengan seorang wanita Mukminah yang bertakwa, Ummu Sulaim, yang kerana beliaulah, Abu Talhah keluar dari kegelapan syirik ke cahaya tauhid, Islam dan jihad. Allah kemudiannya memuliakan suami isteri ini dengan kelahiran seorang anak lelaki yang diberi nama Abu Umair.

     MasyaAllah, sungguh hebat kisah pernikahan Ummu Sulaim dengan Abu Talhah, itulah nilai mahar tertinggi yang tiada bandingannya. Kepada bakal suami, carilah calon isterimu yang mampu meletakkan nilai mahar yang tinggi. Mahar yang tinggi? Tentu sekali akan ada yang keliru bukan? Pandang dengan nilai ketaqwaan kepada Allah,maka akan ditemui jawapannya. Mahar yang baik itu adalah yang tinggi nilainya di sisi Allah swt,bukannya di sisi kebanyakan masyarakat kini. Mungkin kita tertanya-tanya,bagaimana yang dikatakan tinggi nilainya di sisi Allah itu?

Dari Aisyah ra, Rasulullah saw bersabda, “Nikah yang paling besar barakahnya itu adalah yang murah maharnya” (HR Ahmad 6/145)

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah saw bersabda: “Sebaik-baik mahar adalah mahar yang paling mudah (ringan).” (HR. al-Hakim : 2692, beliau mengatakan “Hadis ini shahih berdasarkan syarah Bukhari Muslim.”)

Dan dalam riwayat yang lainnya lagi, Rasulullah saw bersabda, “Wanita yang paling besar barakahnya ialah wanita yang paling mudah (murah) maharnya.” (Diriwayatkan Ahmad, Al Hakim, dan Al Baihaqi dengan sanad shahih)

     Berdasarkan hadis tersebut, maka jelaslah,mahar yang baik itu dan tinggi nilainya di sisi Allah swt sehingga dijamin barakahnya adalah yang murah dan mudah. Lantas,bagaimana pula ukuran kepada nilai yang murah itu? Jawapannya, tiada ketetapan dalam penentuan nilai yang paling tinggi atau paling murah.Yang pasti, nilai maharnya adalah murah yang memudahkan pasangan. Itulah sebaik-baik mahar dari seorang suami untuk isterinya.

     Dari maksud murah dan mudah yang diletakkan bakal isteri itulah yang akan memudahkan pasangannya dan terhasillah sikap redha meredhai antara satu sama lain. Apabila bakal suami dapat berlapang dada dengan mahar yang diletakkan oleh bakal pasangannya,dan pasangannya tidak cerewet dalam menetapkan nilai maharnya, InsyaAllah. Ruang barakah Allah itu akan terbuka luas buat mereka.

     Sedar atau tidak, di situlah letaknya salah satu kunci kebahagiaan dalam berumah tangga. Tertarik dengan kata-kata Dr.Zaharudin dalam membincangkan persoalan berkaitan mahar dalam pernikahan di radio IKIM baru-baru ini,beliau ada mengingatkan, jika semasa penetapan mahar itu bakal isteri sudah meletakkan itu dan ini sehingga menyusahkan bakal pasangannya,maka tidak mustahil selepas perkahwinan itu si isteri akan terus meminta-minta kepada suaminya tanpa meyelami hati dan perasaan suami sebagai ketua keluarga.

     Oleh itu, tidak mustahillah ramai para suami yang terpaksa menanggung bebanan hutang yang tinggi,diambah pula dengan bebanan hutang perkahwinan. Hal itulah yang bakal berlaku apabila hilangnya nilai kesederhanaan yang diajar oleh Rasulullah saw. 

     Buat bakal pasangan yang akan mendirikan rumah tangga,dan yang sedang merancang menuju ke gerbang pernikahan,nilailah isi pernikahan itu dari sudut ruhnya,bukan hanya kepada pandangan zahir semata-mata. Pernikahan itu bukan hanya hidup berdua bersama pasangan,tetapi yang lebih penting membina jalan menuju kecintaan Allah melalui keberkatan di dalamnya. Masjid yang besar dan indah itu tiada gunanya jika di dalamnya tiada orang yang dapat mengajarkan ilmu untuk mengenal Allah.




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan