29 Oktober 2012

Diari Pengubatan Islam



Penyakit ‘Ain
Mungkin ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak biasa atau jarang-jarang ,malah tidak pernah tahu tentang apa itu penyakit ‘ain.  Mungkin ada yang biasa mendengar tentang penyakit ini,tetapi kurang pasti apa sebenarnya penyakit ‘ain. Begitulah keadaan sebenar tentang kedudukan pengetahuan kita terhadap apa yang jarang disebut dan jarang dibincangkan. Sedangkan sebenarnya, penyakit ‘ain inilah antara penyakit yang mudah tertimpa ke atas seseorang dan tidak dapat dibuktikan melalui kaedah perubatan moden berdasarkan teori-teori manusia yang pastinya terkandung seribu kelemahan berbanding Allah Yang Maha Sempurna.
Lantaran itu, kita sebagai hamba perlu sentiasa diingatkan tentang kekuasaan Allah SWT  melebihi segala-galanya. Maka dengan siapa lagi yang perlu kita minta perlindungan melainkan kepada Allah SWT yang memiliki kekuasaan yang mutlak. Kepada apa lagi sandaran untuk kita gunakan melainkan daripada al Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Maka, salah satu cabang yang perlu kita faham adalah berkaitan kaedah rawatan pengubatan Islam yang berteraskan al Quran dan sunnah serta amalan-amalan para alim ulama yang muktabar.
Berbalik kepada penyakit ‘ain,insyaAllah akan dikongsikan beberapa hadis serta pendapat alim ulama berkaitan penyakit ini serta keadah ikhtiar membentengi diri daripada terkena penyakit ‘ain.

Bukti Kewujudan Penyakit ‘Ain

Dari A’isyah r.a. pernah berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Mintalah perlindungan dan pertolongan Allah SWT dari terkena penyakit ‘Ain kerana penyakit itu adalah benar”. Riwayat Ibnu Majah dan disahkan oleh al Albaaniy dan Sahih al Jaami’. (no:951)
Ibnu Abbas r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah  bersabda yang bermaksud:
“Penyakit ‘Ain adalah benar,kalaulah ada sesuatu perkara yang mampu mendahului qadar,nescaya akan didahului oleh al ‘Ain. Oleh itu,sekiranya kamu diminta agar mandi,maka hendaklah kamu mandi.” Riwayat Muslim.

Pandangan Para Alim Ulama Berkaitan Penyakit  ‘Ain

Berdasarkan pandangan al Hafiz Ibnu Kathir rahimahullah, musibah dan pengaruh penyakit ‘ain sememangnya benar sekiranya diizinkan Allah SWT.
 Selain itu, al Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah juga berpendapat bahawa penyakit ‘ain sememangnya benar. Setiap renungan itu kadang-kadang berlaku dengan baik dan kadang-kadang dengan niat hasad (dengki). Hasilnya boleh memudaratkan orang yang direnung.
Berdasarkan petikan buku Rawatan Penyakit Akibat Sihir,dalam bab Penyakit ‘Ain,Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din mengemukakan beberapa pendapat antaranya;
“Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa ‘ain berlaku daripada pandangan yang penuh dengan kekaguman tetapi tidak disertai hasad dengki,bahkan kemungkinan juga boleh berlaku terhadap orang-orang yang soleh. Oleh itu, apatah lagi jika pandangan yang tajam itu disertai dengan perasaan hasad dengki yang boleh mendorong kepada terjadinya perkara buruk kepada orang yang ditujunya”

2 Jenis Penyakit ‘Ain

Abi Said al Khudriy r.a. telah berkata yang bermaksud:
“Rasulullah SAW pernah berdoa memohon perlindungan dari terkena panahan ‘ain si jin dan manusia. Akan tetapi selepas turunnya al Muawwizat,(surah al Falaq dan an Naas),baginda terus menggunakan ayat tersebut sebagai ilmu pendinding panahan ‘ain tersebut dan meninggalkan kesemua yang lain. Riwayat at Tarmizi disahkan oleh al Albaaniy dalam shahih Ibnu Majah (2830).
Ibn Qayyim al Jawziyyah menyatakan terdapat dua jenis penyakit ‘ain iaitu penyakit ‘ain Insaniyyah yang berasal daripada manusia dan penyakit ‘ain Jinniyyah iaitu yang berasal daripada pengaruh jin dan syaitan.

Beberapa Kisah Berkaitan Penyakit ‘Ain

Pernah satu masa pada zaman Rasulullah SAW, Sahl ibnu Hunaif mandi di kawasan wadi, Amir ibnu Rabi’ah yang berada bersama telah terpegun dengan keindahan rupa tubuh Sahl yang putih dan sasa dan beliau terus berkata: ‘aku tidak pernah melihat keindahan rupa tubuh badan yang gebu dan putih melepak selain apa yang aku lihat pada hari ini.’ Tiba-tiba sahaja tubuh badan Sahl ibnu Hunaif menjadi sejuk panas hingga bertambah serius dan tidak boleh mengangkat kepala. Setelah diberitakan kepada Rasulullah SAW tentang hal ini,  Rasulullah memanggil Amir ibnu Rabi’ah seraya member peringatan yang bermaksud:”Apakah sebabnya seseorang kamu it sanggup membunuh saudaranya?Ingatlah! Lain kali hendaklah menyebut doa keberkatan. Sekarang, mandilah supaya dapat disembuhkan.”

Benteng Diri Daripada Panahan Penyakit ‘Ain

Kaedah yang boleh digunakan untuk membentengi diri adalah melalui amalan membaca surah al muawwizat (surah al Falaq dan an Naas)setiap hari. Selain itu,membaca doa penggerak boleh dijadikan benteng untuk menghalang daripada terkena penyakit ‘ain sebanyak 3 kali pagi dan petang insyaAllah.
Terdapat juga bacaan yang mesti disebut apabila kita merasa kagum melihat sesuatu untuk mengelakkan apa yang kita lihat terkena panahan dari mata kita (penyakit ‘ain). Antara bacaan yang elok dibaca ialah ‘La haula wala quwwata illa billah’ , ‘Baarakallahu fiik’ ,‘Allahumma baarik ‘alaih’.
Seterusnya, sebaiknya kita hendaklah sentiasa dalam keadaan suci dari hadas dan begitu juga dengan pakaian yang dipakai. Moga melalui amalan yang dilakukan mampu mengelakkan diri dari terkena penyakit ‘ain insyaAllah.

Kaedah Merawat Penyakit ‘Ain
Meletakkan tangan perawat ke atas kepala pesakit sambil membaca doa ini sebanyak 5 atau 7 kali:


Ya Allah Tuhan semua manusia, Yang menghilangkan penyakit, sembuhkanlah kerana hanya engkaulah yang dapat menyembuhkannya, tidak ada yang dapat menyembuhkan kecuali engkau, kesembuhan yang tidak dihinggapi penyakit lagi"[Hadith Riwayat Al-Bukhaari].
Atau membacakan doa ini sebanyak 3,5,7,9 kali sambil tangan diletakkan di atas kepala pesakit:

"Dengan nama Allah, aku menjampimu, dari segala sesuatu penyakit engkau, dari setiap jiwa atau mata yang merasa dengki; semoga Allah menyembuhkan penyakitmu, dengan nama Allah, aku menjampimu."  [Hadith riwayat Muslim].
Sambil mendoakan pesakit,pesakit juga dianjurkan untuk meminum air yang didoakan perawat  dengan doa tadi. InsyaAllah, dengan ikhtiar serta keyakinan tentang kesembuhan dari Allah,moga-moga akan membuka jalan kesembuhan kepada pesakit yang terkena penyakit’ain. Wallahu’alam…..