3 September 2012

Semaian Cinta Allah Buat Isteri


Alhamdulillah,sudah hampir 6 bulan usia pernikahan. Bermakna, hampir 6 bulan juga diri ini bergelar suami kepada seorang isteri. Juga hampir 6 bulan diri ini berjauhan  dari keluarga walaupun ada masa terluang diisi dengan berkunjung menziarahi keluarga di kampung. Kini, diri ini meneruskan kembara hidup bersama dengan seseorang yang sebelum ini tidak pernah dikenali secara dekat dan difahami tentang cara hidupnya.

Menyelami sunnah Rasulullah saw dalam kehidupan berumah tangga sekaligus sebagai pemimpin keluarga, tentu sekali memberikan seribu kekuatan kepada diri untuk memahamai betapa pentingnya menjadi suami yang soleh. Bukan mudah seperti yang dibayangkan dan tidak boleh mengambil mudah terhadap apa yang dibayangkan.

Untuk menjadikan isteri seorang yang taat kepada suami, suami dulu perlu taat kepada Allah. Untuk menjadikan isteri setia kepada suami, suami terlebih dahulu perlu setia dalam menturuti perintah Allah. Dan untuk menjadikan isteri sentiasa rindu dan sayang kepada suami, suami terlebih dahulu perlu ada rasa cinta, sayang dan rindu pada Allah dan Rasulullah. Mengapa begitu? Tentu sekali kerana hati kita sentiasa dalam genggaman Allah. Cinta itu milik Allah, ketaatan dari Allah, dan kesetiaan juga datangnya dari Allah dan dipancarkan pada jiwa-jiwa yang dekat dengan Allah. Maka tentu sekali Allah mampu melakukan apa sahaja sesuai dengan keadaan siapa kita di sisi Allah. Bagaimana hubungan kita dengan Allah dan apa rasa jiwa kita apabila kita mendengar dan menyebut nama Allah.

Pesanan buat diri,berusahalah sebaik mungkin untuk menjadikan diri kita yang terbaik untuk Allah. Bukan yang terbaik pada pandangan Allah, kerana kita manusia tidak mampu mentafsir setinggi itu. Bukan juga yang terbaik pada pandangan manusia terhadap hubungan kita dengan Allah kerana hal sebegitu boleh saja mendatangkan perasaan ujub dan takabbur pada hati.

Pada masa yang sama, selamilah jiwa sebagai seorang suami, isteri adalah amanah dan tanggungjawab kita. Untuk menyemai kemanisan cinta yang semakin bertambah, jadikan setiap hari adalah ta’ruf. Hargai setiap perbuatan isteri setiap hari sekalipun isteri melakukan perbuatan yang sama kepada kita. Ungkapkanlah ucapan  terima kasih setiap hari kepada isteri kerana memasakkan makanan kepada kita,membasuh pakaian kita,juga kerana menjaga sebaiknya amanah dan tanggungjawab sebagai seorang isteri untuk suami. Jangan jemu mengatakan sayang dan rindu kepada isteri. Jiwa wanita itu halus dan sangat berperasaan. Maka raikanlah sifat fitrah wanita itu. Berusahalah untuk menjadi yang terbaik kepada isteri dan keluarga, kerana hal itu juga merupakan sunnah Rasulullah saw yang boleh membawa kebahagiaan dalam kehidupan berumah tangga.

"Orang Mukmin yang paling sempurna Imannya ialah yang paling baik akhlaqnya, dan sebaik-baik kamu adalah yang paling baik kepada istrimu.” (HR. Tirmidzi no. 2537)

“...dan bergaullah dengan mereka secara baik...” (QS. An-Nisaa [4]:19)
"Sebaik-baik kalian adalah kalian yang terbaik terhadap isterinya. Dan aku adalah yang terbaik diantara kalian terhadap isteriku." (HR. Ibnu Majah no. 1967).

Carilah keberkatan kerana di situ terletak nilai yang tinggi di sisi Allah swt. Waspada dengan kesenangan kerana bisa saja kita terperangkap dengan tuntutan dunia.

Buat jauzati, syukran atas kefahamanmu pada diri yang serba kekurangan ini. InsyaAllah, pengorbanan yang dilakukan mudah-mudahan akan dipandang Allah swt sebagai satu kebaikan. Moga baitul muslim yang dibina dapat diselami dengan sunnah  Rasulullah serta ditempuhi dengan syariatullah. Syukran wa barakallah fi zaujati....