13 Februari 2012

Bahaya Perasaan Ujub Dan Takabbur

Betapa halusnya suntikan jarum dari syaitan yang sedaya upaya mencacatkan amalan manusia sehinggakan kalangan manusia yang beribadah itu juga diganggu agar tercemar amalannya. Itulah penyakit ujub dan takabbur. Satu wabak yang bukan sahaja boleh menimpa sang penguasa yang angkuh dengan kehebatannya, malah kepada si abid yang sentiasa berteleku di tikar sembahyang. Itulah hakikatnya, dengan adanya sedikit perasaan ujub dan takabbur itu maka akan terus terpadam segala catitan kebaikan amalan yang dilakukan jika tidak terus ditepis dengan kesedaran dan iman yang tinggi.

Ujub adalah perasaan bangga diri yang terbit dari dalam diri tanpa ditunjukkan pada sesiapa sedangkan takbbur itu pula merupakan perbuatan atau kata-kata yang menunjukkan kebaikan dan kehebatan diri pada orang lain . Awasilah setiap tindakan dan perbuatan kita, ujub dan takabbur itu bukan sahaja berlaku dari kalangan mereka melakukan perbuatan yang mungkar, berbangga-bangga dengan kejahatan yang dilakukan, malah boleh juga menjadi barah kepada amal ibadah kita. Boleh jadi amalan yang disangka baik itu, apabila dipersembahkan kepada Allah Ta'ala di akhirat kelak akan hilang segala-galanya. Itulah kerugian yang tidak diduga setelah merasakan diri telah banyak melakukan amal kebaikan.



Terdapat beberapa perkara yang haruslah diteliti dan diperbaiki semula, agar lintasan hati kita dalam melakukan amal kebaikan sentiasa terelihara dan dapat dijaga InsyaAllah.

1. Ada perbuatan riak dibuat dengan cara menunjukkan kerajinan berpuasa sehinggakan dengan sengaja berada bersama dengan rakan-rakan yang sedang makan di sesuatu tempat. Supaya dikata orang sebagai bagus kerana berpuasa. (melainkan jika terpaksa menemani rakan yang keseorangan)

2. Menjaga kesopanan apabila bertutur dengan lemah lembut di hadapan khalayak sedangkan supaya kelihatan beradab,sedangkan apabila bersama keluarga, atau rakan-rakan yang biasa, semua itu tidak diambil kira.

3. Berpura-pura melakukan amalan yang banyak agar diri disangka warak. Tidak mementingkan keduniaan dan sering berhemah. Sedangkan di dalam hati memandang kepada dunia.

4. Ada juga takabbur itu ditunjukkan melalui kehebatan berceramah atau bersyarah dalam pelbagai majlis ilmu dan keraian, berpengetahuan dalam pelbagai bidang. Namun hakikatnya sering mencampurkan perkara baik dan buruk.

 5. Bercakap berdasarkan bukti dan kajian untuk menunjukkan bahawa diri mempunyai ilmu mantik yang tinggi, supaya diiktiraf kebijaksanaannya daripada orang ramai.

6. Seterusnya berpakaian seperti para alim, ahli ibadah, bertasbih di jari, berjubah dan berserban supaya dipandang baik oleh masyarakat. Pada masa yang sama. memandang dengan penuh kebencian dan prasangka pada mereka yang berpakaian biasa-biasa.

7. Ada yang menunjukkan perbuatan riak melalui amalan zikir, agar dikatakan orang sebagai seorang yang kuat bermunajat sedangkan di hati mempunyai azam untuk mencari pengaruh atau mendapatkan darjat yang baik pada pandangan manusia sebagai ahli zikir.

MasyaAllah, itulah sedikit sebanyak amalan yang baik pada zahirnya,tetapi mungkin ada cacat pada hati. Bukanlah tugas kita untuk menghukum seseorang atas amalan. Apa hak kita mengukur tahap keikhlasan seseorang dalam beribadah kepada Allah. Namun kita sebagai hamba Allah yang dikurniakan akal fikiran yang terbatas,perlu juga membuat penilaian sebaik mungkin agar diri tidak mudah terpengaruh kepada kebaikan amalan zahir yang dilakukan. Tidak juga melabelkan seseorang yang kelihatan indah akhlaknya pada zahir itu buruk pada batinnya. Cuma, cukuplah kita muhasabah dan membuat penilaian pada diri. Dibimbangi ada terdetik atau terbitnya lintasan hati yang boleh merosakkan amalan. Jika ada, maka tepislah dengan beristighfar kepada Allah dan membaiki semula niat ibadah kita. InsyaAllah,Allah Maha Tahu apa yang tersirat dalam hati setiap hamba-Nya.

10 Februari 2012

Berdakwah Melalui Akhlak

Ulama ulung, al-Imam Abdullah bin al-Mubarak mempunyai seorang jiran berbangsa Yahudi. Apabila beliau membeli daging atau buah-buahan, beliau akan menghadiahkannya kepada jirannya itu. Suatu hari orang Yahudi itu bermaksud menjual rumahnya, datanglah seorang yang hendak membeli. Dia berkata: "Harga rumahku ini dua ribu dinar, yang seribu adalah harga rumah dan seribu lagi harga berjiran dengan Ibnu Mubarak." Beliau amat terharu dengan perkataan jirannya itu, lalu diapun mendatanginya seraya berkata: "Ini seribu dirham untuk harga rumahmu dan engkau jangan menjualnya." Setelah peristiwa itu akhirnya Yahudi itu masuk Islam.

Saidina Ali pernah berkata: "Sesiapa yang mahu menguasai manusia, kuasailah hatinya." Para sahabat Rasulullah SAW memiliki kepakaran dalam mempengaruhi manusia, melembutkan hati dan menundukkan jiwa mereka kepada Islam. Rasulullah telah mendidik duta-duta Islam yang bertugas membawa ajaran agama ke luar Makkah. Salah seorang duta Islam yang pertama adalah Saidina Mus'ab bin Umair yang ditugaskan ke Madinah. Penyebaran Islam dilakukan dengan jalan damai dan persahabatan, bukan seperti yang didakwa para orientalis songsang bahawa Islam ditegakkan dengan mata pedang. Hakikatnya, peperangan yang terjadi dalam sejarah Islam adalah bersifat perang kerana membela diri.

Rasulullah SAW mengajarkan kelembutan dan akhlak mulia sebagai teras kecemerlangan dakwahnya. Terbukti ketika baginda membuka kota Makkah dan menawan penduduknya, saat itu kunci Kaabah telah dilarikan oleh pemegang amanahnya yang bernama Usman bin Talhah, seorang musyrikin. Keluarga Usman dipandang mulia kerana telah berkhidmat menjaga Kaabah secara turun temurun. Itulah warisan yang paling mahal dan berprestij bagi zuriat mereka. Dia menyeru dari atas bumbung Kaabah: "Sesekali takkan ku biarkan lelaki yang mengaku dirinya Nabi merampasnya daripadaku."

Lalu Saidina Ali bin Abu Talib memulas tangan Usman dan mengambil kunci itu. Kemudian datanglah al-Abbas bin Abdul Muthalib, bapa saudara Rasulullah SAW memohon agar kunci itu diserahkan kepada keluarga beliau. Ia merupakan satu penghormatan terbesar bagi sesiapa sahaja yang mampu berkhidmat kepada Baitullah. Namun Rasulullah SAW menyuruh Ali untuk mengembalikannya kepada Usman bin Talhah yang masih kafir dan nyata penentangannya kepada baginda SAW. Rasulullah juga menyuruh Ali meminta maaf kerana telah menyakiti tangannya.

Setelah menerima apa yang menjadi haknya Usman bin Talhah menyatakan dirinya masuk Islam. Beliau begitu terharu dengan sifat adil dan kasih sayang yang terserlah pada keperibadian Rasulullah SAW. Akhirnya semua orang kafir di Makkah menyerahkan dirinya kepada agama Allah. Dengan rasa tunduk mereka menginsafi diri betapa indah dan mulianya ajaran agama Allah ini.

Tetapi kini, persepsi terhadap kemuliaan Islam telah tercalar dengan peristiwa-peristiwa keganasan. Padahal ia adalah angkara manusia-manusia durjana yang tidak bertanggungjawab yang bertopengkan Islam. Sesungguhnya mereka telah keluar dari prinsip yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan diamalkan para sahabat dan tabiin dalam memperjuangkan agama Islam ini.

Bagaimanakah metod dakwah yang sesuai pada zaman yang serba canggih ini? Mengapa tidak dicuba dengan cara yang lebih bertamadun seperti persaingan dalam bidang sains dan ekonomi, politik dan budaya, pertahanan dan keamanan, kerana semua itu adalah media dakwah paling penting untuk diterokai generasi Islam saat ini.

Setiap muslim bertanggungjawab mempamerkan nilai-nilai Islam ketika berinteraksi dengan non-muslim. Kewajipan menyampaikan mesej Islam ini bukan terletak di tangan para pendakwah yang berlatar belakang pendidikan Islam sahaja, tetapi setiap individu muslim adalah pendakwah dengan bidang dan kepakarannya masing-masing.

Seorang artis adalah pendakwah jika dia mampu memberikan teladan yang baik kepada peminat-peminatnya, seorang ahli politik atau ahli perniagaan, wartawan atau budayawan diharapkan mampu menegakkan mesej Islam di medan yang diceburi, bahkan seorang angkasawan atau penjaga kedai sekalipun harus mempunyai kesedaran membela Islam di mana jua dia berada.

Cara yang paling sederhana dan mudah ialah tunjukkan akhlak Islam yang mulia, jujur dan amanah, sopan santun dan berbudi bahasa, adil dan bertanggungjawab, kasih sayang dan simpati, semua itu merupakan ciri-ciri Islam yang mesti diperjuangkan.

Al-Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa, pada suatu hari Ibnu Mas'ud RA pernah mengucapkan selamat (Salam) kepada seorang lelaki kafir yang menemaninya dalam pemusafiran. Beliau berkata: "Semoga kamu mendapat kebahagiaan dalam hidupmu." Lalu para sahabat bertanya mengapa beliau berkata seperti itu kepada orang kafir. Beliau menjawab: "Subhanallah, dia telah menemaniku dalam perjalananku sedangkan Allah berfirman: Dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia." Surah Al-Baqarah: 83

Senyuman dan kata-kata yang manis sudah cukup membuktikan bahawa Islam itu penyebar kasih sayang sejagat. Namun perlu diingat tentang masalah akidah dan kepercayaan yang tidak boleh sama sekali berlaku tolak ansur di dalamnya. Untukmu agamamu dan untukku agamaku, tapi kita masih boleh berkasih sayang dan berdamai.

  Sumber:
Jabatan Mufti Perlis

7 Februari 2012

Kisah Sayidna Ali dan Buah Delima



Dikisahkan oleh Ka’ab bin Akhbar.
Ketika Siti Fatimah Az Zahra, Puteri Rasulullah SAW, sekaligus isteri kepada Sayidina Ali bin Abi Thalib sakit, ia ditanya oleh Sayidina Ali,  ” Wahai Fatimah, adakah engkau menginginkan sesuatu?”
“Wahai Suamiku, aku ingin buah delima”, Jawabnya.

Sayidina Ali termenung, sebab ia merasa tidak memiliki wang sedikitpun. Namun, ia segera berangkat dan berusaha untuk mencari wang satu dirham. Maka akhirnya Sayidina Ali mendapatkan wang itu dan kemudian ia pergi ke pasar untuk membeli buah delima dan segera kembali pulang.
Namun di tengah perjalanan menuju rumahnya, tiba-tiba ia melihat seseorang yang tengah terbaring sakit di tepi jalan, maka Sayidina Ali pun berhenti dan menghampirinya.

“Wahai orang tua, apa yang diingini oleh hatimu?”, tanya Sayidina Ali.
“Wahai Ali, sudah lima hari aku terbaring sakit di tempat ini, banyak orang berlalu, namun tak ada seorang pun dari mereka yang mahu peduli kepadaku. Aku ingin sekali makan buah delima.” Jawab orang tua tersebut.

Mendengar jawabannya, Sayidina Ali terdiam, sambil berkata dalam hati,

“Buah delima yang hanya satu buah ini, sengaja telah aku beli untuk Isteriku, kalau aku berikan kepada orang ini, pasti Fatimah akan sedih. Namun jika tidak aku berikan ertinya aku tidak menepati firman Allah,
“Terhadap si pengemis, engkau janganlah mengherdiknya. ” (QS. Al-Dhuha : 10).

Juga sabda Nabi SAW yang bermaksud, ” janganlah sekali-kali engkau menolak pengemis, sekalipun ia di atas kenderaan”.

Oleh sebab isterinya juga menginginkan buah delima tersebut akhirnya buah tersebut dibahagi dua. Kini ada di tangannya hanya setengah dari buah delima untuk isterinya. Lalu beliau melanjutkan perjalanan kembali ke rumah. Tiba-tiba ada seorang lagi pengemis yang sangat kelaparan mengharapkan bantuan dari Sayidina Ali. Rasa sayang yang tinggi terhadap sesama manusia, maka diberikanlah separuh lagi buah delima tersebut kepada pengemis itu.

Sampai di rumah Saidina Ali r.a menceritakan peristiwa itu kepada Isterinya, dan Siti Fatimah berkata kepadanya,

“Wahai suamiku, kenapa engkau bersedih, demi Allah yang maha Perkasa dan Maha Agung, ketika engkau memberikan buah delima kepada orang tua itu, maka puaslah hatiku dan lenyaplah keinginanku pada buah delima itu.”

Mendengar kenyataan Isterinya itu Sayidina Ali merasa sangat gembira.
Selanjutnya, di kamar Rasulullah SAW didatangi oleh Malaikat Jibril as,yang memberitakan apa yang telah dilakukan oleh Sayidina Ali,dan bersama  Jibril as terdapat  10 buah-buahan dari syurga sebagai pengganti buah yang telah diberikan oleh Sayidina Ali kepada pengemis tadi. Nabi SAW memanggil salah seorang sahabatnya iaitu Salman al-Farisi (ada yang mengatakan bahawa lelaki itu ialah Abu Said al-Khudri ra) agar menghantar buah-buahan ini kepada Saidina Ali dan putrinya Fatimah az-Zahra.

Tidak lama kemudian datanglah seorang tamu yang mengetuk pintu, lalu Sayidina Ali berkata, “Siapakah tuan?”

“Aku Salman Al Farisi,” Jawab orang yang mengetuk pintu itu.
Setelah pintu dibuka, Sayidina Ali melihat Salman membawa sebuah wadah tertutup, dan diletakkkan di depan Saidina Ali, lalu Sayidina Ali bertanya,

“Dari manakah wadah ini wahai Salman ?”.
“Aku menghantarkannya untukmu dari Allah SWT melalui perantaraan Rasulullah SAW.” Jawabnya.
Setelah penutup wadah tersebut dibuka, terlihat di dalamnya ada Sembilan buah delima. Sayidina Ali terus berkata,

“Wahai Salman, jika ini memang untukku, pasti jumlahnya Sepuluh”.
Lalu Sayidina Ali r.a membacakan firman Allah SWT,
“Barangsiapa membuat satu amal kebaikan, maka pasti baginya sepuluh kali ganda amal balsannya”.       ( Al-An’am : 160 )

Salman pun tertawa mendengarnya, sambil mengembalikan sebuah Delima yang ada ditangannya, seraya berkata,
“Wahai Ali, demi Allah, aku hanya sekadar menguji sejauh mana KEYAKINANMU terhadap firman Allah yang engkau bacakan sebentar tadi.”

4 Februari 2012

Murobbiku





Diberi peluang untuk mengenali para ilmuan dan alim ulama' sangat membuatkan aku terasa betapa jahilnya diri ini. Saat Allah memberikanku peluang menadah siraman ilmu dari mereka,terasa diri ini mendapat kembali kehangatan cinta-Mu, memandu ku ke arah-Mu, membuka laluan menuju kepada-Mu. Saat itu baru aku mengerti, bagaimana rasanya kedahagaan ilmu itu bila aku berjauhan dari mereka. Tatkala hati-hati yang ketandusan dan kekeringan, mengharapkan titisan embun pagi yang menyegarkan semula. Itulah ibaratnya barakah ilmu yang amat diharapkan, moga terpancar sinar kejernihan Nur-Mu pada diri ini. 


Bilaku melihat mereka bersama, terasa sesuatu yang menaungi sekelilingnya, Mungkin itulah rahsia rahmat Allah yang menyelubungi diri-diri yang sentiasa bersama mereka. Melihat kesantunan mereka membuatkan aku rindu pada Rasulullah. Mendengar butir-butir hikmah dari bicara mereka menyuburkan kembali jiwa yang layu. Terima kasih ya Allah kerana memberikan peluang kepada diri ini mencedok titisan ilmu dari mereka. Semoga medan dakwah yang mereka perjuangkan mampu ku teruskan walau diri ini penuh dengan seribu kelemahan. InsyaAllah.

3 Februari 2012

Tazkirah Perdana


Tazkirah Bersama 2 Tuan Guru

Surau An-Nur, Bangi

21 Feb 2012 (Selasa)

Jam 8 Malam