25 Disember 2011

Memahami Pernikahan Jin Dengan Manusia

     Kita pasti biasa mendengar kisah perkahwinan antara masyarakat dari negara yang mempunyai latar belakang berbeza,suku kaum berbeza, keturunan dan bangsa yang berbeza. Namun, pastinya ada segelintir masyarakat yang pernah terdengar kisah perkahwinan antara manusia dengan jin. Tentu sekali pasti ada individu-individu tertentu yang pernah berada dalam situasi sebegini dan masih dalam kebingungan setelah melalui beberapa perkara-perkara pelik yang berlaku pada diri sendiri. Jesteru, dinukilkan perkongsian ini sebagai kefahaman dan pengetahuan di samping persediaan jika berlaku pada diri kita atau ahli keluarga  kerana  hal ini juga melibatkan hukum dan boleh memberikan kesan jangka panjang pada kehidupan manusia.
Benarkah terdapat kisah perkahwinan antara manusia dengan jin?
     Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Muhammad Abduh Mughawiri ,beliau ada menjelaskan beberapa kisah sebegini dan dicatatkan dalam sebuah buku bertajuk Kisah Perkahwinan Jin Dengan Manusia .
     Dalam bukunya ada menceritakan tentang kisah Ratu Balqis yang merupakan penguasa negeri Saba’ pada zaman nabi Sulaiman ‘Alaihissalam. Salah seorang ibu bapa Ratu Balqis adalah jin. Secara ringkasnya Ibnu Katsir rahimahullah menyebutkan bahawa bapa Balqis seorang raja besar. Bapanya menolak untuk menikah dengan  mana-mana wanita Yaman dan dikatakan telah bernikah jin perempuan bernama Raihanah binti As-Sakan,lalu melahirkan anak yang dipanggil Talqamah,disebut juga Balqis. '
     Satu lagi kisah yang ingin dikongsikan dikatakan telah berlaku setelah pengutusan Rasulullah saw. Ahmad bin Sulaiman bin Al-Bakhad mengatakan: Disampaikan kepada kami oleh Abi bin Al-Hasan bin Sulaiman Abu Al-Sya’tsa’ Al-Hadrami (salah seorang guru Muslim): Abu Mu’awiyah berkata kepada kami: Aku mendengar Al A’masy mengatakan: Ada seorang jin yang menikah dengan perempuan di antara kami, aku berkata kepadanya: “Makanan apa yang engkau sukai?” Ia menjawab: “Nasi”,lalu kami berikan itu kepadanya, ternyata aku melihat suapan-suapan yang diangkat tapi aku tidak melihat adanya seseorang. Setelah itu aku bertanya: “Apa pada bangsa kalian ada juga kecenderungan(aliran) seperti kami?” Ia menjawab: “Ya”. Aku bertanya lagi: “Yang bagaimanakah golongan Rafidah pada bangsa kalian?” Ia menjawab: “Yang jahat”. (menurut Syeikh Al-Hafizh Abu Al-Hajja Al-Mazzi bahawa riwayat ini isnadnya kepada Al-A’masy shahih).
     Di dalam buku Menjawab Persoalan Makhluk Halus karangan Tuan Guru Dato’ Haron Din (semoga Allah memelihara kebenaran ilmu beliau dan mengalir barakah ilmunya) menjelaskan  bahawa, ada pendapat yang mengatakan salah seorang ibu bapa Puteri Balqis adalah dari golongan jin sepertimana yang tercatat dalam tafsir al-Qurtubi ² ketika membuat tafsiran surah Al-Isra’ ayat 64 yang menyebut firman Allah swt yang bermaksud:
 “Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan seni suaramu (nyanyian) dan kerahlah penyokong-penyokongmu  yang berkuda serta berjalan kaki untuk mengalahkan mereka dan turut –campurlah (berkongsilah) dengan mereka dalam menguruskan harta benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka dengan janjimu . Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.”
     Maka ditafsirkan bahawa jin akan berusaha keras memperdayakan manusia untuk menderhakai Allah dengan pelbagai cara seperti nyanyian,tentera-tentera mereka sehingga boleh bermusyarakah bersama untuk mendapatkan harta benda dan anak-anak hasil perkongsian hidup manusia dengan makhluk halus ini. Antaranya disebutkan tentang perkahwinan ibu bapa Puteri Balqis.
Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah ra,Rasulullah saw bersabda:
هارئي أو كلمة غيرها فيكم المغربون قلت وما المغربون قال الذ ين يشترك فيهم الجن
Maksudnya: “Adakah sesiapa di antara kamu menjadi Al-Mugharribuun? Maka aku (‘Aisyah) bertanya Nabi SAW: Siapakah Al-Mugharribuun itu? Nabi SAW bersabda (maksud): Al-Mugharribuun ialah mereka yang telah bermusyarakah dalam kehidupan rumahtangga dengan jin.” ³

Bagaimanakah pula hukum perkahwinan antara jin dengan manusia?
     Jelas Tuan Guru lagi jumhur ulama bersepakat bahawa hukum perkahwinan jin dengan manusia adalah tidak sah. Namun begitu, terdapat seorang ulama bernama Qamuli menyatakan perkahwinan antara jin dengan manusia dibolehkan  atas beberapa hujah beliau. Namun begitu, sepertimana kesepakatan jumhur ulama tentang tidak dibolehkan perkahwinan jin dengan manusia adalah berdasarkan hujah yang kuat dan jelas melalui surah Ar-Rum pada ayat 21 yang bermaksud:
“Dan diantara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat Allah,bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri  supaya kamu bahagia dan hidup bermesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”.
     Itulah antara keterangan Allah swt supaya kita jelas dalam memilih pasangan hidup supaya tidak mendatangkan mudarat di kemudian hari. Menyentuh tentang kisah yang berlaku pada Puteri Balqis pula,tidak dinyatakan dengan jelas tentang keadaan sebenarnya kerana pastinya kisah tersebut berlaku sebelum kedatangan Rasulullah SAW melalui penurunan wahyu Al-Quran.
     Hakikatnya, memang benar-benar boleh terjadi perkahwinan antara dua makhluk dari alam yang berbeza iaitu jin dengan manusia. Tentu kita akan tertanya-tanya,bagaimana pula keadaan yang akan berlaku selepas perkahwinan? Bagaimana yang dikatakan berlakunya persetubuhan antara jin dengan manusia dan bolehkan manusia melahirkan anak hasil perkahwinannya dengan jin sedangkan jin adalah makhluk yang tidak berjirim?Apakah yang akan terjadi kepada zuriat hasil perkahwinan tersebut?
     InsyaAllah akan dijelaskan dan dikongsikan bersama. Moga-moga dengan bertambahnya salah satu cabang ilmu dapat membantu kita keluar dari kejahilan dan mempersiapkan diri kita menghadapi sebarang perkara yang menjadi rahsia serta hikmah Allah SWT.

1)      Kisah lengkapnya dalam buku al-Bidayah wan-Nihayah,Ibnu Katsir .
2)      Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad ibn Abi Bakr Al-Qurtubi (2006),Beirut:Mu’assasah al-Risalah
3)      Abu Dawud Sulayman ibn al-Asy’ath al-Sajastani (2008), Sunan Abi Daud

19 Disember 2011

Kenal al-Quran:Jom Belajar Tajwid

“Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari Al Qur’an dan mengajarkannya” (HR. Bukhari dan Muslim)

     Alhamdulillah,semakin hari,semakin ramai golongan muda yang mempelajari ilmu al-quran bermula dari permulaan mengenal huruf hinggalah kepada ilmu tafsirnya. Buktinya, kelas-kelas al quran sudah mulai dibuka dengan banyaknya bukan sahaja di masjid surau,taman perumahan, malah juga dalam rancangan radio dan televisyen dan aktiviti pengajian sebegini mendapat sambutan baik dari segenap lapisan masyarakat tidak kira daripada golongan kanak-kanak hinggalah kepada golongan dewasa.

     Sememangnya ramai daripada kita yang sudah mempunyai ilmu yang mantap berkaitan ilmu tajwid. Malah, tentu sekali terdapat ramai golongan ilmuan,guru-guru dan ustaz ustazah yang sedia maklum mempunyai kefahaman yang tinggi berkaitan ilmu tajwid. Mudah-mudahan perkongsian ini dapat dijadikan sebagai pemurnian ilmu yang boleh ditambah dan diperbaiki jika terdapat sebarang kesilapan.

     Hakikatnya,dalam mempelajari ilmu tajwid,seseorang itu perlu berguru kepada guru yang mahir dalam bidang tajwid. Tidak cukup hanya melalui buku ataupun video. Mengapa? Kerana ilmu tajwid itu memerlukan kepada satu bentuk pengucapan oleh mereka yang belajar. Siapa lagi yang akan mendengar dan membetulkan ucapan berdasarkan bacaan yang diperdengarkan jika bukan guru? Itulah pentingnya berguru selain memperoleh manfaat barakah belajar berguru secara talaqqi musyafahah yang diamalkan sejak zaman Rasulullah saw lagi. Tidak bermakna alternatif lain seperti bahan-bahan bantu belajar itu tidak boleh digunakan,tetapi cukup sekadar sebagai peneguhan untuk memperkemaskan sesuatu bacaan supaya dapat diperdengarkan dengan lebih baik kepada guru yang mengajar. Itulah prinsip dan kaedah terbaik dalam mempelajari ilmu tajwid.



Apa Itu Ilmu Tajwid?

     Ilmu tajwid adalah ilmu yang membicarakan tentang cara-cara membaca ayat-ayat suci al-Quran menurut hukum-hukum yang tertentu dan mengucapkan huruf-huruf mengikut ketentuan asal makhrajnya dan ketentuan berturutan seperti at-tafkhim, at-tarqiq dan sebagainya.

Apakah Hukum Mempelajari Ilmu Tajwid?

     Mempelajari pelajaran tajwid adalah fardu kifayah dan beramal dengannya adalah fardu ‘ain.

Firman Allah swt yang bermaksud:

 "Dan bacalah Al-Quran itu secara tartil (bertajwid)" (Al-Muzammil: 4).

     Tartil bermaksud bacaan yang dibaca secara tamakninah dan menghalusi bacaan pada lidah. Dibaca bersesuaian dengan peraturan bacaan serta maksudnya seperti tebal,nipis,panjang,pendek,idgham,idzhar,ikhfa’ dan lain-lain hukum.

     Berdasarkan firman Allah itu,jelas menunjukkan satu arahan dari Allah swt untuk membaca al-Quran dengan betul hukum dan peraturannya yakni tartil. Membentuk bacaan yang bertartil,tentu sekali perlu kepada pembelajaran dan juga amalan yang berterusan supaya lidah kita sentiasa mudah menyebut ayat-ayat Allah di samping memberikan kesucian hati yang terakam melalui butir-butir hikmah al-Quran.

Memperelokkan Bacaan al-Quran

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

“Kamu hiasilah Al Quran itu dengan suaramu yang merdu”

     Diriwayatkan, bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w. menunggu-nunggu istrinya, Siti ‘Aisyah r.a. yang kebetulan agak terlambat datangnya. Setelah ia datang, Rasulullah bertanya kepadanya:” Bagaimanakah keadaanmu?” Aisyah menjawab :”Aku terlambat datang, karena mendengarkan bacaan Al Quran seseorang yang sangat bagus lagi merdu suaranya. Belum pernah akumendengarkan suara sebagus itu.”
Maka Rasulullah terus berdiri dan pergi mendengarkan bacaan Al Quran yang dikatakan Aisyah itu. rasulullah kembali dan mengatakan kepada Aisyah:” Orang itu adalah Salim, budak sahaya Abi Huzaifah. Puji- pujian bagi Allah yang telah menjadikan orang yang suaranya merdu seperti Salim itu sebagai ummatku.”

     Setelah kita dapat mengenal huruf-huruf, peranan dalam sebutannya,serta peraturan dalam pembacaan, maka hiasilah pula bacaan kita dengan suara dan bacaan yang lunak dan indah. Itulah sebaik-baik hiasan bagi al-Quran. Bukannya diletakkan di atas takhta permata,di tempat yang tinggi tanpa disentuh dan dibaca isinya. Biarlah kitab suci al-Quranul Karim menjadi hujah kepada kita,dan bukannya berhujah ke atas kita di hari akhirat kelak.

Dari Abdillah bin Amr bin ‘Ash dari Nabi SAW, beliau bersabda, “Akan dikatakan kepada shahib Al Qur’an,

Bacalah dan naiklah serta tartilkan sebagaimana engkau dulu mentartilkan Al Qur’an di dunia, sesungguhnya kedudukanmu di akhir ayat yang kau baca.” (HR. Abu Daud dan Turmudzi)




Malu untuk mula…


     Ya,kebiasaan bagi mereka yang sudah lanjut usia malu untuk memulakan pembelajaran al-Quran. Kita biasa dengar kata-kata ini:


“ Pak cik ni dah tua,malu la nak belajar, tak apalah, cukuplah sikit-sikit ilmu yang pak cik dapat dulu”

Golongan muda pula:

“ Bukan tak nak belajar,tunggulah dulu. Lagipun malulah belajar sekali dengan budak-budak. Nantilah”

     Mungkin itu hanya sebahagian kata-kata yang terucap, malah banyak lagi alasan yang diberikan semata-mata kerana malu untuk belajar. Kenapa kita terlalu cepat berputus asa? Masa inilah kita perlu bersikap jujur dengan diri sendiri. Jika kurang,maka tambahlah,jika tidak pandai,bertanya dan belajarlah. Tambahan lagi, terdapat banyak kelas-kelas al Quran untuk orang dewasa. Semuanya itu semata-mata memberikan peluang kepada golongan dewasa untuk belajar dan lebih mendalami ilmu-ilmu tajwid serta memperelokkan bacaan. Janganlah kita memberi terlalu banyak alasan kerana itu tandanya kita sedang mencipta kegagalan.

     Bersikap adillah kepada diri sendiri dengan meletakkan perasaan malu itu pada tempatnya. Malulah kepada Allah swt jika pada hari pengadilan nanti kita masih tidak mampu mengenali keindahan kalam Allah swt. Malulah kepada Allah jika pada saat-saat akhir kehidupan kita masih tidak mampu dan tidak pandai untuk mengucapkan surat cinta Allah sebagai persediaan untuk kita menghadapi kenyataan janji-janji Allah swt.

     Inilah masanya,mulakanlah langkah pertama kita dengan baik. Supaya pengaturan untuk langkah seterusnya akan menjadi lebih baik. Berjinaklah-jinaklah dengan al-Quran. Pelajarilah ilmu-ilmu bacaan bertajwid,insyaAllah usaha itu akan menjadi permulaan untuk kita melengkapkan diri kita sebagai penghias kepada al-Quran melalui lantunan suara yang dialunkan. Lupakan kepada suara-suara yang merdu jika ia boleh menjadi pembunuh semangat untuk belajar. Sebaliknya jika mampu, jadikan ia sebagai pencetus semangat supaya kita dapat terus berusaha untuk menjadi sebaik-baik penghias al-Quran. Yang akan menentukan keikhlasan bacaan bukanlah manusia,jesteru,cukuplah Allah yang menilai keikhlasan kita kerana jika al-Quran itu dialunkan dengan suara yang merdu oleh  si pembaca yang penuh dengan perasaan ujub dan riak,maka tiada nilainya juga di sisi Allah.

Mudah-mudahan, Allah memberi kita kekuatan untuk terus istimrar dalam menuntut salah satu cabang ilmu.

      Jadilah orang yang merendah diri dalam mencari ilmu kerana ilmu itu yang akan mengangkat dirimu dari jahil kepada ‘alim. Jadilah orang yang sabar dalam menuntut ilmu kerana ilmu itu akan memberi kekuatan kepada dirimu. Jadilah orang yang cinta akan ilmu kerana ilmu itu akan membuatkan dirimu kenal dan cinta akan Allah swt.

17 Disember 2011

Konsep Menuntut Ilmu


Dikatakan dalam Hadis :
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَی كُلِّ مُسلِمٍ وَ مُسْلِمَةٍ
“Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim laki-laki dan muslim perempuan” Al-Hadis 
Nabi Muhammad S.A.W. bersabda:

            "Barangsiapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barangsiapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duannya pula." (HR. Bukhari dan Muslim)

Kedatangan Islam membawa gesaan menuntut, menyebar dan memuliakan ilmu. Wahyu yang pertama iaitu ayat 1-5 surah Al-‘Alaq dengan jelas mewajibkan pencarian ilmu. Oleh itu agama Islam ini dapatlah dikatakan sebagai tertegak atas dasar ilmu atau pengetahuan. Tanpa ilmu dan pengetahuan kita tidak akan dapat mengenal Khaliq dan seterusnya tidak dapat berbakti kepadaNya.
 

5 Syarat Menuntut Ilmu

Terdapat lima syarat yang tidak boleh ditinggalkan supaya ilmu yang dipelajarinya menjadi ilmu yang bermanfaat dan barakah serta bertambah kebaikan.

1.      Niat – Memperbetulkan niat dengan semua sandaran perlakuan kerana Allah semata-mata. Penuntut ilmu, khususnya penuntut ilmu agama ketika keluar dari rumah pergi ke tempat belajar, harus mempunya niat semata-mata untuk menghilangkan kebodohan.
نَوَيْتُ طَلَبَ الْعِلْمِ فَرْضًا ِﷲِ تَعلی
“Nawaitu thalaba al-ilmi fardhal lillahi ta’ala"

2.      Ikhlas kerana Allah – kebaikan semua makhluk Allah dan juga untuk diri di dunia dan akhirat

3.      Komited dengan ilmu yang dipelajari

4.      Beramal dengan ilmu – Firman Allah swt yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahannam kebanyakan jin dan manusia, bagi mereka ada jantung hati (tetapi) tidak mengerti dengannya, dan bagi mereka ada mata (tetapi) tidak melihat dengannya, dan bagi mereka ada telinga (tetapi) tidak mendengar dengannya. Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat. Mereka itulah orang-orang yang lengah." (Al-‘Alaq:179)

Firman Allah swt yang bermaksud:

            “Katakanlah: Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu”.  (Az-Zumar:9)



Firman Allah swt maksudnya:

           “Allah memberikan hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan bererti ia telah diberikan kebaikan yang banyak”. (Al-Baqarah:269)


Firman-Nya lagi maksudnya:


            “Hanya sanya orang yang takut kepada Allah ialah orang yang berilmu”.   (Al-Faathir:28)



5.      Terima ilmu sebagai amanah dan bersedia untuk kembangkan ilmu dan sebarkan pada orang lain.

Nabi Muhammad Saw bersabda yang bermaksud:

   “Sebaik-baiknya manusia adalah yang bermanfaat untuk orang lain”. 

Rasulullah Saw mengumpamakan sifat orang mukmin seperti sifat lebah, dalam sabda-nya:

“Sifatnya orang mukmin seperti sifatnya lebah (tawon madu)”

1.      Bila makan, yang dimakan adalah halal iaitu sari bunga yang dihisapnya.
2.      Bila mengeluarkan, yang dikeluarkan adalah madu, yang bermanfaat bagi kesihatan. Bila kita mengeluarkan pembicaraan, pembicaraan kita harus berguna dan bermanfaat bagi orang lain. Pembicaraannya tidak menyakitkan orang lain.
3.      Bila hinggap di dahan yang lapuk maka lebah tidak merosakkan dahan (tidak mematahkan dahan yang lapuk yang dihinggapinya).





8 Disember 2011

Seputar Pernikahan: Pesanan Buat Muslimah

Firman Allah SWT:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya.” (QS. An Nuur [24] : 31).

Apa yang ingin dikongsikan adalah berkaitan tabarruj dalam pernikahan.

Satu kebimbangan apabila sebilangan mereka yang menjaga adab-adab berpakaian seolah tewas bila menjelangnya hari pernikahan. Jika dulu,sangat tidak suka kepada solekan, malah kadang-kadang alah kepada segala jenis alat solek, namun pada hari pernikahan, keserian wajah asal mereka yang sebelum ini hanya dihiasi dengan cahaya wudhu' seolah-olah telah hilang ditelan kerakusan solekan yang dipakaikan kepadanya.

Diletakkan bulu mata palsu,disapukan bedak sehingga putih,berbeza dengan warna asal kulitnya,tidak cukup dengan itu,mengenakan pula warna merah pada pipi (cat merah).Bibirnya yang merah lebih merah daripada biasa sehingga seolah-olah,jika berada dalam kalangan orang ramai,kemerahan bibirnya yang akan membuatkan setiap mata yang ada di situ memandang kepadanya. Apa mereka tidak yakin dengan kecantikan yang dikurniakan Allah pada diri mereka?Apa cahaya wudhu' itu belum dapat menandingi keserian wajah yang bersolekkan 'tepung' dan 'cat'? Duhai wajah,cukuplah keadaaanmu yang biasa itu,tidak perlu menipu hadirin dan keluarga pasangan yang ingin mengenalmu dengan solekan yang bukan mencantikkan,malah memburukkan lagi wajahmu. Bersederhanalah dalam kamu menghiaskn wajahmu. Tidak bermakna kau tidak boleh menghiaskan dirimu, tetapi biarlah bersederhana dan pada tempatnya kerana Allah juga sukakan kecantikan dan keindahan sebagaimana firman Allah Ta’ala dari surah Al-A’raf ayat 31 yang bermaksud:

Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.

Kemudian, disembur pula dengan wangian yang pekat. Wangian yang pastinya akan menerjah ke rongga hidung hadirin yang datang. Jika dulu memakai wangian hanya untuk mengambil barakah sunnah Rasulullah saw, tetapi pada hari pernikahan, wangian yang dipilih bukan lagi kasturi kijang,bukan lagi malaikat subuh,bukan lagi kasturi putih,tetapi wangian berjenama mahal yang kuat baunya,yang apabila dicalitkan pada badan,pasti akan semerbak baunya hingga ke luar rumah. Bukankah Rasulullah saw telah berpesan, adakah kerana terlupa atau terlalu ghairah untuk mencuba wangian sebegitu sehingga sanggup melupakan sebentar pesan Baginda?

 Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ

Perempuan mana saja yang memakai wewangian, lalu melewati kaum lelaki agar mereka mendapatkan baunya, maka ia adalah wanita penzina.” (HR. An Nasa’i, Abu Daud, Tirmidzi dan Ahmad. Syaikh Al Albani dalam Shohihul Jami’ no. 323 mengatakan bahwa hadits ini shohih).

Seterusnya, dalam membincangkan tentang jilbab, tidak ada dalil yang membenarkan pengantin membuka sedikit atau meringkan sedikit aurat serta adab berpakaian pada hari pernikahan. Suruhan Allah swt dalam surah Al-Ahzab itu jelas. Allah Ta’ala berfirman:


يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min: "Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya  ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (QS. Al Ahzab [33] : 59)

Namun, mengapa masih ramai muslimah yang menyingkatkan tudungnya pada hari pernikahan? Jika sebelum ini,di medan perjuangan,dialah yang sentiasa ke hadapan membawa agenda dakwah dan tarbiyah.Malah mengajak mad'u untuk sama-sama menjaga aurat,bertudung labuh,memakai stongan(stokin lengan) dan berjubah.
  
Apabila tiba sahaja hari pernikahan, ditinggalkan semua yang pernah dperjuangkannya. Jilbab labuh yang dipakainya dahulu ditukar ganti dengan tudung yang lebih berfesyen,kainnya yang kurang tebal,mencekik pada bahagian leher sehingga menampakkan bentuk leher,labuh sisinya diangkat ke paras bahu,labuhan depannya sekadar cukup-cukup untuk menutupi bahagian dadanya,dan labuhan belakang sekadar singgah pada separuh belakangnya,tidak lagi menutupi belakang dengan sepenuhnya.

Tidak cukup dengan itu,maka disarungkan pula dengan kebaya atau baju pengantin yang lain yang sedikit sebanyak membentuk tubuhnya. Di mana jubah yang selama ini kau sarungkan di badanmu? Di mana pakaianmu yang dulu itu? Tidak sesuaikah dikenakan pada hari pernikahanmu? Bimbang tetamu akan memandangmu dengan pandangan yang jelek? Apa kau tidak bimbangkan pandangan kemurkaan Allah padamu?

Wah,cukup hebat pakaian buat raja sehari. Mungkin ada yang terfikir, hari ini saja untuk berpakaian sebegini,esok lusa pakailah jilbab semula. Hari ni saja bersolek tebal-tebal, tamat majlis nanti cucilah semula muka. Hari ni saja nak pakai kebaya, esok pakailah jubah balik.Tidak sedarkah? Auratmu itu sudah menjadi milik suamimu, hak suamimu, dan auratmu tidak pernah boleh dikongsikan dengan sesiapapun yang bukan mahram walaupun kau tidak bersuami.

Jesteru, mengapa alasan kerana hari pernikahan, kau boleh berpakaian begitu dan begini hingga menggadaikan apa yang sebelum ini kau perjuangkan? Di mana ketegasanmu sebagai pendukung syariat? Di mana nilai kesucianmu sebagai muslimah yang selama ini kau pelihara? Pernikahan bukanlah alasan untuk bertindak sebegitu, malah sepatutnya membuatkan kau lebih menjaga adab dan kesucianmu kerana banyak orang yang memandangmu. Sekurang-kurangnya,pandangan orang kepadamu boleh menjadi satu dakwah kepada mereka supaya sentiasa berpakaian menutup aurat dengan sempurna.

Berpesan pada diri, juga kepada mereka yang akan mendirikan rumah tangga, jadikan hari pernikahanmu itu sebagai permulaan yang baik, untuk membina keluarga dalam kehidupan yang mardhotillah. Buat suami dan bakal suami, peranan anda sangat besar. Bantulah diri dan isterimu dengan mempersiapkan sebanyak mungkin ilmu agama bagi membentuk rumah tangga yang menjaga dan mengamalkan syariat Allah Ta’ala. 

Firman Allah Ta’ala,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (QS. At Tahrim: 6)