20 Oktober 2011

Perjuangan Kalian Untuk Allah?


     Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menciptakan segala sesuatu, yang menetapkan aturan mengikut percaturan-Nya, yang sentiasa memenuhi keperluan hamba mengikut kehendak-Nya, yang menyuburkan benih-benih cinta membuatkan hamba-Nya sentiasa ingin sujud pada-Nya, dan yang menyemai mawaddah agar dapat dicurahkan rahmat-Nya atas sekalian hamba-Nya.

     Pertemuan singkat bersama adik-adik penggerak dakwah dan tarbiyah kampus sangat memberikan kesan yang mendalam pada dirinya. Pertemuan itu mengembalikan semula ingatannya pada peristiwa lalu, sewaktu dia pernah bersama-sama dalam medan perjuangan kampus. Kini, medan itu diteruskan pula oleh adik-adik generasi pelapis yang ternyata mempunyai semangat yang tinggi untuk memartabatkan agama dalam keadaan warga kampus dan masyarakat yang semakin menjauhi syariat Allah swt.

     Seorang demi seorang wajah adik-adik ditenungnya, jernih, terpancar keikhlasan dalam memikul amanah dan tanggungjawab besar itu. 
     
     Namun, apakah mereka akan dapat bertahan menghadapi mehnah ujian yang bakal dihadapinya nanti seperti Rasulullah  saw dilontarkan batu sewaktu baginda berdakwah ke Ta'if? Apakah sudah tersemat keberanian untuk menegakkan hak tatkala manusia kini sentiasa saja menuntut kepada yang batil seperti Saidina Umar yang menyatakan pengislamannya secara terbuka? Apa wujud perasaan kasih sayang dan ukhuwah di antara mereka hingga sanggup berkorban masa, tenaga, harta malahan nyawa seperti Saidina Abu Bakar yang dipatuk ular kerana ingin melindungi Rasulullah dalam peristiwa hijrah? Jika diteliti dari sirah Rasulullah dan para sahabat, semua pengorbanan yang dilakukan adalah berkisarkan kepada perjuangan menegakkan agama Islam, agama Allah swt.

     Tingginya iman Rasulullah saw, hebatnya tarbiyah Allah kepada Baginda, dan indahnya akhlak Rasulullah kepada para sahabat. 
     
     Dia sedar, dirinya sendiri masih tidak mampu untuk melakukan sedemikian sebagaimana pengorbanan Rasulullah saw dan para sahabat, tetapi sekurang-kurangnya, semangat perjuangan itu dapat diserap dan dijadikan contoh tauladan sebagai panduan dan ikutan.

     Terasa ingin benar hatinya untuk berbicara, walaupun berat kerana mengenangkan Allah pasti akan menguji kembali setiap bait-bait kata yang dituturkannya. Namun, digagahi juga, yang pasti...ujian Allah untuk dirinya itu adalah teguran dari Allah, supaya tidak lupa atas apa yang diperkatakan...InsyaAllah.

     Adik-adik...jika kalian keletihan dalam perjalanan, berehatlah. Tetapi janganlah kalian berhenti dari meneruskan perjalanan,teruskanlah kerana mungkin itu adalah perjalananmu yang terakhir. Jika kalian diberi pilihan sama ada untuk melalui jalan yang jauh dan sukar untuk menuju destinasi yang selamat, dengan perjalanan yang dekat dan mudah untuk menuju destinasi yang kalian sendiri tidak pasti keadaannya, maka buatlah perhitungan sebaiknya. Kalian berhak memilih perjalanan mana yang kalian suka,tetapi yang pasti kalian akan dipertanggungjawabkan atas pilihan yang kalian lakukan.

     Adik-adik...jika kalian terasa getirnya perjuangan itu apabila kalian berseorangan, janganlah kalian bersedih kerana Allah pasti bersama kalian. Jangan pula nanti, ketidakyakinan adik-adik membuatkan kalian dipersoalkan atas apa yang diperjuangkan... 

Kalian tidak yakin dengan apa yang kalian perjuangkan? 
Kalian tidak berasa kebersamaan Allah dalam perjuangan kalian?
Lalu, apa yang kalian perjuangkan sebenarnya?
Islam? Islam itu milik siapa? Tentu milik Allah bukan?...
Untuk siapa? Tentu sekali untuk semua yang ada di langit dan di bumi, termasuklah kalian...

    Izinkan diri ini bertanya lagi...patutkah kalian masih berasakan kalian berseorangan tanpa pertolongan dari Allah? Jika Islam agama dari Allah, maka tentu sekali Allah akan membantu kalian.

     Atau mungkinkah kalian tidak dapat merasai dekatnya Allah kerana rosaknya matlamat perjuangan kalian? Apa niat perjuangan kalian sebenarnya adik-adik? Adakah kerana jawatan yang dipegang? Atau kerana ada orang menilai prestasi dan komitmen kalian dalam bergerak kerja? Atau semata-mata kerana Allah? 

     Jika perjuangan kalian benar-benar ikhlas kerana Allah, maka yakinlah dengan pertolongan Allah. InsyaAllah, kalian akan dapat merasai dekatnya pertolongan Allah itu. Itulah janji Allah kepada mereka yang sabar dalam berjuang di jalan Allah.

Firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah, ayat 214 yang bermaksud:
“Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) seperti (yang dialami) orang-orang yang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan berbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, “Bilakah datang pertolongan Allah?”. Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.”  

     Adik-adik...jika kalian tersungkur, bangunlah kembali, kalian tidak mampu mengubah putaran waktu supaya sentiasa berada di masa senang, tiada daya atas kalian untuk merencanakan semula apa yang telah kalian janjikan di hadapan Allah swt sejak di alam roh lagi. Bukankah kalian telah menyatakan penyaksian dengan sebenar-benarnya bahawa Allah adalah tuhan kalian? 
Firman Allah swt yang bermaksud 
..."Bukankah Aku ini Tuhanmu?" mereka menjawab "kami bersaksi bahawa Engkau Tuhan kami"...
(Al-A'raf : 172)

     Itulah penyaksian yang telah dilakukan, dan itu bukanlah sekadar penyaksian semata-mata. Setiap penyaksian yang dilafazkan dihadapan Allah swt tentu sekali menuntut kepada tindakan. Justeru, tindakan yang bagaimana harus dilakukan untuk menyatakan penyaksian kalian kepada Allah? Tentu sekali dengan mengabdikan diri kepada-Nya.

Firman Allah swt dalam surah Ad-Dzaariyat,ayat 56 yang bermaksud:
"Tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk mengabdikan diri kepada Aku."

     Lantas, dengan cara yang bagaimana harus dilaksanakan arahan Allah itu? Tentu sekali dengan melaksanakan segala titah perintah-Nya, melaksanakan yang wajib, dan meninggalkan larangan-Nya, serta memperbanyakkan amalan sunat.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh itu adalah sebaik-baik makhluk."
Maksud dari Firman Allah swt dari surah Al-Bayyinah, ayat 7.

     Adakah cukup sekadar amalan untuk diri sendiri sahaja? Adik-adik,bukankah kalian saling memerlukan antara sama lain, maka tanggungjawab kalian kepada muslim yang lain pasti tidak akan terlepas. Sebagaimana firman Allah swt dalam surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud;
"dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung."

      Dalam meneruskan perjuangan, pasti akan ada masanya hati terasa kecewa, gundah gulana, bersedih, namun jangan sesekali timbul perasaan berputus asa. Tetapkanlah semangat dan azam untuk terus memburu redha Allah melalui perbuatan dan amalan yang kalian lakukan. Jika kesempitan, pasti Allah akan membantu. Kalian akan dapat merasai halusnya dakapan cinta Allah di saat itu, kalian akan merasai dinginnya bayu lembut yang menghembus  kekecutan hati yang sedang berduka cita itu. Itulah tandanya cinta Allah kembali menyinggah kepada kalian, itu tandanya kasih Allah tersebar kepada kalian, jemputlah cinta dan kasih sayang Allah melalui perjuangan kalian. ingatlah adik-adik...perjuangan kalian perjuangan yang bersyarat. Hadirkan rasa taqwa dan suburkan taqwa itu di hati kalian. InsyaAllah pertolongan Allah itu dekat.....

"Barangsiapa bertaqwa kepada Allah,nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya...dan Dia memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah,nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu."
Maksud firman Allah swt dari surah At-Talaq,ayat 2 dan 3.

(Pesanan buat diri yang sentiasa lupa,buat  adik-adik MTDC,dan semua hamba Allah yang merasai kekosongan hati dalam berjuang)



11 Oktober 2011

HIMPUNAN SEJUTA UMAT

Himpunan  Sejuta Umat ini akan dikendalikan mengikut lunas-lunas berikut :
  • Keseluruhan pengendalian program dari awal hingga akhir sama sekali tidak menggambarkan kecenderungan berpolitik.
     
  • Peserta himpunan terdiri daripada semua rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan agama dan afiliasi politik  (Walaupun
    perhimpunan ini secara logiknya akan disertai oleh orang Islam namun penyertaan mereka yang bukan Islam dialu-alukan).
     
  • Himpunan ini adalah perhimpunan aman yang mendapat kebenaran pihak yang berkuasa.
     
  • Tema himpunan tertumpu atau fokus kepada kegiatan kristianisasi, kesan dan cabarannya kepada masyarakat majmuk di negara ini.
     
  • Penyertaan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai tonggak atau payung bangsa Melayu dan Agama Islam adalah sangat munasabah dan bertepatan pada masa dan ketikanya.
  1. Sekretariat Himpunan Sejuta Umat | HIMPUN (website)
  2. Gabungan PEMBELA Islam
  3. Ikatan Muslimin Malaysia | ISMA (website)
  4. Pimpinan Majlis Ugama Islam
  5. Teras Pengupayaan Melayu | TERAS
  6. Persatuan Belia Islam Nasional | PEMBINA (website)
  7. Dewan Perniagaan Melayu Malaysia | DPMM (website)
  8. Pribumi Perkasa Negara | PERKASA (website)
  9. Pertubuhan IKRAM Malaysia | IKRAM (website) 
  10. Persatuan Pengguna Islam Malaysia | PPIM (website)
  11. Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s | ACCIN
  12. Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia | PEKIDA
  13. Pemuda Parti Islam SeMalaysia (PAS) | PEMUDA PAS (website)
  14. Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) |  PEMUDA UMNO (website)
  15. Wanita Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) | Wanita UMNO
  16. Kumpulan Persatuan Bekas Perajurit | PBTM
  17. Persatuan Bekas Anggota Polis | PBPM (website)
  18. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia | PKPIM (website)
  19. Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia | GAMIS (website)
  20. Gabungan Persatuan Silat
  21. Gerakan-gerakan belia
  22. Gerakan-gerakan mahasiswa dan wanita Islam
  23. wakil-wakil rakyat beragama Islam
  24. .. dan banyak lagi pihak-pihak yang mewakili suara umat Islam



Program Himpunan Sejuta Umat dianjurkan oleh Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) serta badan-badan bukan kerajaan, NGO-NGO Islam, penglibatan warga korporat dan warga kerja masing-masing.
Masyarakat Islam khususnya akan menjadi peserta barisan hadapan.  Mereka mewakili pelbagai pertubuhan, institusi-Institusi pendidikan, warga korporat, kelab-kelab sukan dan riadah, persatuan seni mempertahankan diri, pasukan beruniform, kelab-kelab belia, AJK Masjid dan Surau, tenaga guru dan lain-lain badan serta pertubuhan yang akan disenaraikan kemudian.
Sebuah sekretariat akan ditubuhkan.  Sekretariat ini akan dibantu oleh beberapa pasukan kerja yang akan menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan tempat himpunan, kemudahan yang diperlukan, susur atur majlis, penyediaan makanan dan tempat solat, publisiti dan pemberitahuan awam, tetamu jemputan, iklan di media cetak dan elektronik serta media baru dan sebagainya.

HIMPUN
Apa yang kita mahu capai dalam Himpunan Sejuta Umat ini ?

+ Untuk menerangkan kedudukan perkara yang sebenarnya tidak seperti yang digembar-gembur melalui media.

+ Mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011.

+ Memberitahu rakyat perlunya persoalan aqidah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik.

+ Menserlahkan Institusi Raja yang menjadi payung Bangsa Melayu dan Islam dalam hal peranan mereka dalam sama-sama menangani isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini.

+ Menzahirkan kekuatan aqidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi.

+ Menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukkan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.
TENTATIF

22 Oktober 2011 | Sabtu

2.00 petang hingga 6.00 petang

Stadium Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

Tentatif awal program Himpunan Sejuta Umat ( akan dikemaskini dalam masa terdekat) :

+ Ucapan penganjur mengalu-alukan penyertaan para peserta himpunan
+ Alunan Asma Ul-Husna
+ Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan terjemahan
+ Nasyid bertemakan jihad mempertahankan kesucian Islam
+ Ucapan tetamu utama
+ Ucapan wakil-wakil NGO terpilih
+ bacaan ikrar mempertahankan kesucian Islam
+ Menyampaikan logo Himpunan Sejuta Umat kepada wakil-wakil negeri sebagai tanda komitmen mereka penganjuran himpunan yang sama diperingkat negeri-negeri.

10 Oktober 2011

Ada Allah di Hatimu?

     Hati kecil berbisik.

“Apa perlu untuk aku ceritakan masalah ni pada dia? Dia pun manusia biasa macam aku,tentu dia ada masalahnya sendiri,takkan aku perlu bebankan dengan masalah aku pula?”

“Tak apalah, baik aku simpan saja. Orang lain tak perlu tahu”,sambil tangan membelek-belek buku berkaitan manhaj perjuangan yang baru saja dibelinya petang tadi. Tiba-tiba matanya tertumpu pada satu bahagian helaian muka surat.  Terselit di situ satu nukilan cinta Allah yang bermaksud:

(Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya. (surah Yusuf:86)

     Diteliti ayat itu berkali-kali, tiba-tiba bergenang air matanya. Terasa sejuk bila air mata itu membasahi pipinya. Air mata keinsafan barangkali,dan mungkin itulah juga butir-butir mutiara yang gugur dek kerana terasa kehangatan cinta itu mula menyelam ke dasar hatinya.

“Aku lupa pada apa yang sepatutnya aku tak boleh lupa”.

“Aku lupa bahawa aku ada Allah”.

“Kalau aku mengadu pada manusia,barangkali ada yang sudi mendengar,dan ada juga yang mencari alasan untuk membebaskan diri dari menjadi tempat tadahan masalah aku. Kalau Allah…tentu sekali Allah takkan menolak untuk mendengar rintihan aku…malah Allah suka mendengar permintaan dan rintihan aku,serta sekalian hambanya”, getus hatinya lagi.

     Lantas teringat akan ayat-ayat Allah dari surah al Ghafir,ayat 60 yang bermaksud:

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.’’

‘’Alhamdulillah…’’

‘’Terima kasih ya Allah. Aku dapat rasakan, hikmah ayat-ayatMu seolah-olah sedang berbicara denganku’’

‘’…walaupun aku sedar, tidak layak atas aku untuk dilayan sebegini’’.

‘’Adakah layak seorang hamba yang sentiasa saja berbuat kesilapan dilayan dengan begitu baik oleh tuannya?’’

Adakah aku masih dapat bekerja dengan majikanku jika setiap hari pasti ada saja kesilapan yang dilakukan semasa melakukan kerja?’’

‘’tentu sekali tidak’’

‘’…tapi Allah?’’

‘’aku hambaNya, Allah tuhan aku…’’

‘’ada masa aku lupa, ada masa aku ingat padaNya, tapi Allah tak pernah lupa pada hambaNya,malah dengan sifat rahman dan rahimNya itulah yang membuatkn hambaNya termasuk aku masih dapat merasai nikmat cinta dan kasih sayang’’

‘’…sungguh benar, Allah itu dekat dengan hambaNya….

Firman Allah swt bermaksud:

Apabila hamba-hambaKu bertanya kepada engkau (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku hampir. Aku memperkenankan permohonan orang yang meminta jika dia meminta kepada Aku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan aku serta beriman kepada Aku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran.                        (al Baqarah:186)

     ‘’Apa lagi alasan yang ingin aku berikan untuk sentiasa tunduk dan patuh pada suruhanMu ya Allah? Engkau sentiasa sahaja bersama dengan hambaNya, malah ingatan dan pengetahuanNya terhadap hambaNya tidak pernah luput walau sesaat.’’

     Adakah adil bagi jika aku sebagai hambaNya,hanya meletakkan ingatan pada Allah apabila tiba waktu susah? Apabila diuji dengan sedikit kesakitan, kesusahan, keresahan, dan kegelisahan baruku mula mencari Allah? Di mana Allah waktu aku senang? Di mana Allah waktu aku sihat? Di mana Allah waktu aku gembira? Betapa zalimnya aku pada Allah.

     Dirinya terfikir sejenak, apa kita tidak malu untuk meminta pada Allah dengan berbagai permintaan tatkala kita berada dalam kesempitan, sedangkan Allah hanya meminta satu sahaja dari kita iaitu untuk tunduk dan patuh kepadaNya.

6 Oktober 2011

Si Gembala Malam Bersama Hatinya


Malam yang tenang...

     Dalam kegelapan yang tak tersuluh, kesunyian yang tak terbingit, suasana damai itu menyapa jiwa-jiwa kosong yang butuhkan pengisian. Ruh segar mula bangun, merangkak dan berdiri, berjalan dan meniti landasan sempit dengan penuh cermat.

     Bukan mudah ruh itu membawa sangkarnya melalui perjalanan itu. Ramai yang kecundang,menyerah dan berputih mata. Namun digagahi jua langkahnya. Akhirnya terpilihlah dia, diangkatnya menjadi raja penghias malam. Jika pada tanah dialah bajanya, jika pada sungai dialah airnya yang terus mengalir melalui celahan batu-batu besar. 

     "Alhamdulillah, Allah pilih aku untuk menjadi teman munajat-Nya, Allah pilih aku untuk menjadi pengadu kepada-Nya, Allah pilih aku untuk menjadi peminta daripada kekayaan-Nya", bisik suara hatinya.
    
     "Beruntungnya diriku ini. Aku menutup akhir malamku dengan taubat,hajat dan istikharah pada-Mu. Aku buka pengisian di penghujung malamku dengan tahajud,tasbih dan witir. Betapa aku cinta akan Mu ya Allah. betapa aku rindu untuk tenggelam dalam zikirullah, tanda ingatanku kepada-Mu", tambahnya lagi.

     Namun, jiwa itu telah lupa pada sesuatu. Lupa pada sesuatu yang diketahuinya. Tenggelam dalam keasyikan ibadahnya. Tenggelam dalam timbunan amalannya.

     Nasihat seorang murobbi itu menjentik hatinya. Ibaratnya menyegarkan semula kelopak mawar yang layu itu, mengingatkan kelopak si mawar itu supaya jangan lupa untuk mekar, menadah embun-embun pagi supaya dapat terus merasai kesegaran dan memelihara kesegahan bunga itu. Kata-kata murobbi itu sangat terkesan pada hatinya yang sedia menerima suluhan dari mereka yang ikhlas.

          Jangan berbangga dengan kejahatan yang kamu lakukan,
          kelak kamu akan dimalukan denga kejahatan itu,

          Jangan berbangga dengan kebaikan yang kamu lakukan,
          kerana kamu akan membencinya,
          apabila tiada orang yang memerhatikan kamu,
         
          Jangan ada rasa puas dengan amalan kamu,
          kerana kamu akan tinggalkannya,
          setelah kamu berasa sudah banyak beramal dengannya.

          Beramallah kamu,
          tetapi jangan berasa kamu beramal.

Tersungkur hatinya apabila mendengar kata-kata itu. Jiwanya merintih...

Ya Allah, siapa aku hari ini adalah keranaMu,
Apa amalanku kini adalah dari kekuatanMu,
Bagaimana keadaanku kini adalah dari perlindunganMu,
Mengapa aku di sini adalah kerana percaturanMu,
Tiada daya aku atas diriku ini ya Allah,
Melainkan semuanya  dariMu....

Ya Allah...
Ikhlaskan hatiku atas tiap kelipan mataku,
Ikhlaskan hatiku atas tiap tutur kataku,
Ikhlaskan hatiku atas tiap curahan pemikiranku,
Ikhlaskan hatiku atas tiap petikan jemariku,
Ikhlaskan hatiku atas tiap langkah kakiku.
Ikhlaskanlah segala amal perbuatanku ini Ya Allah....