26 September 2011

Dari kalam Imam Abdullah al-Haddad, ulama sufi………………



Kelebihan dan Kepentingan Berzikir Kepada Allah

Firman Allah:

أَلاَ بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
“Ketahuilah dengan zikrullah itu hati menjadi tetap. (tenang, tenteram)” (Ar-Ra’d .. 28 )


يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ اذْكُرُواْ اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً
Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allahdengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; (Al-Ahzab, (33) : 41)

     Bagi amalan zikrullah itu terdapat buah-buah dan natijah-natijahnya yang murni yang pasti akan dirasai oleh sesiapa yang tekun beramal dengannya dengan penuh adab dan hati yang hadir [tidak lalai], dan natijahnya yang paling kurang ialah pasti orang tersebut akan dapat merasai kemanisan dan kelazatan [rohani] di dalam dirinya, iaitu suatu kenikmatan dan kelazatan yang akan menyebabkan dirinya tidak lagi memandang [tidak lagi mengendahkan] kepada kelazatan-kelazatan keduniaan yang dirasainya sebelum itu, dan buahnya yang paling tinggi[1] ialah bilamana ahli zikir tersebut akan menjadi “fana’” dengan “Zat yang diingati” [Allah] dan fana’ dari segala sesuatu yang lain dari Allah.[2]  
   
Firman Allah :

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَبِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
“…………Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang mensucikan diri.” (Al-Baqarah : 222)


     Dan barangsiapa yang duduk dalam keadaan suci, tenang dan bersunyi-sunyian [seorang diri] sambil menghadap kiblat kemudian berzikir kepada Allah dengan hati yang hadir dan mera`ikan segala adab-adab yang dikehendaki pasti akan melihat kesan-kesan yang nyata pada hatinya [ekoran dari zikir yang diamalkan]. Dan sekiranya dia berkekalan di dalam melakukan yang demikian pasti cahaya-cahaya al-qurb [cahaya-cahaya yang menghampirkan dirinya dengan Allah] akan bersinar di dalam dirinya dan akan tersingkaplah kepada dirinya pelbagai rahsia-rahsia alam ghaib  

     Dan seutama-utama zikir ialah zikir yang melibatkan [penghayatan dan kesedaran] hati dan pengucapan lidah, dan penghayatan hati ketika berzikir bermaksud hati menghayati sepenuhnya segala pengertian-pengertian zikir yang diucapkan oleh lidah.
Dan yang paling utama bagi sesiapa yang berzikir kepada Allah - dalam aspek merendahkan suara ataupun menyaringkan suara - ialah melakukan apa yang didapatinya paling memberikan kesan dan maslahah kepada hatinya, maka sesungguhnya zikir merupakan wirid yang berterusan [yang perlu dilakukan di dalam semua keadaan dan setiap masa] maka hendaklah engkau bersungguh-sungguh mempastikan bahawa lidahmu sentiasa basah kerana berzikir di dalam semua keadaan kecuali pada masa-masa tertentu yang tidak dapat digabungkan antara amalan zikrullah dan amalan-amalan ibadat yang lain, maka pada masa-masa tesebut ibadat-ibadat yang lain itu merupakan zikrullah dengan pengertiannya yang umum.   

     Dan wajib ke atas engkau memelihara segala zikir-zikir dan doa-doa yang ma’thur, yang perlu dibaca dan diamalkan selepas sembahyang fardu lima waktu, zikir di waktu pagi dan petang, zikir sebelum tidur dan zikir-zikir lain yang telah ditentukan masa-masa pembacaannya [melalui perbuatan Nabi saw]. Maka Nabi saw tidaklah mensyariatkan kesemua zikir-zikir tersebut kepada umatnya melainkan kerana zikir-zikir tersebut akan menjadi “sebab” yang akan mendatangkan kebaikan kepada kehidupan mereka dan akan menyelamatkan mereka dari pelbagai kejahatan dan keburukan [yang boleh menimpa hidup mereka] di dalam masa-masa yang dilalui itu; maka barang siapa yang lalai [tidak mengambil kisah] untuk mengamalkan zikir-zikir Nabi saw tersebut kemudian dirinya tertimpa dengan perkara-perkara yang tidak baik atau terhalang untuk mencapai sesuatu yang dicintainya maka janganlah dia mencerca [menyalahkan] melainkan dirinya sendiri…………………..    



[1] Kesannya yang paling besar
[2] Menjadi tenggelam dan asyik dengan Allah yang diingatinya sehingga tumpuan dan perhatian jiwa dan akalnya kepada segala sesuatu yang lain dari Allah akan lupus dan hilang sama sekali dari pandangan hatinya.

(dipetik untuk perkongsian dari seorang sahabat ,'membina jalan menuju Allah')

24 September 2011

Keluh Hati Si Tua...

    
     Suatu pagi di tempat itu.  Arif benar si tua itu dengan suasananya. Ramai pengunjung luar begitu tertarik dan terpesona dengan binaan-binaan bangunan yang indah, tersergamnya membuatkan setiap mata yang memandang merasakan seperti berada di turki, dan yaman. Iklan-iklan yang islami dan model-model bertudung litup seolah-olah pandai menghormati gelaran sebuah ’negara Islam’ .

     Namun,itu hanyalah retorik yang tergambar semata-mata. Ternyata luarannya mampu menunjukkan keindahan islam,mampu mengkagumkan pengunjung luar yang inginkan kelainan,namun,suatu jasad yang telah lama meniti pembangunan di situ, telah lama merasai perubahan demi perubahan yang berlaku,merasakan masih ada sesuatu yang kurang
     
     Ya,masih banyak yang belum mampu dilakukan. Kenapa? Adakah kerana tidak ada kecukupan waktu? Ataupun kerana sentiasa bermain dengan waktu? Apa 54 tahun itu,masih menunjukkan bahawa kita masih belum matang? Atau langsung tiada usaha ke arah itu? Atau merasakan tiada kepentingan ke arah itu?

     Mungkin juga barangkali merasakan bahawa ianya sesuatu yang ketinggalan zaman? Manusia adalah makhluk yang diberi akal fikiran dan  tidak seperti makhluk lain,maka adakah sepatutnya akal yang diberi itu digunakan untuk menentang suruhan Allah swt? Adakah akal yang dikurniakan Allah itu sepatutnya digunakan hanya untuk memikirkan tentang hal keduniaan semata? Adakah konsep penerimaan akal yang diciptakan Allah itu tidak layak digabungkan dengan percaturan Allah sepertimana yang digariskan dalam al-Quran dan al-Hadith? Dan adakah al-Quran dan al-Hadith itu merupakan satu versi lain yang tidak dapat diterima akal masa kini dan dianggap membebankan manusia?

     Persoalan demi persoalan timbul dalam diri si tua itu. Itulah hakikatnya yang berlaku. Manusia semakin lari dari tujuan asal dan fitrah. Jika dibawa kembali kepada sejarah, di manakah suara kebangkitan Islam yang dibawa oleh Tok Janggut? yang diperjuangkan oleh Haji Abdul Rahman Limbong?  Di mana lagi suasana tarbiyah dapat dirasai setelah pondok-pondok pengajian agama dibiarkan ibarat hidup segan mati tak mahu? Di manakah para ulama’ dan ilmuwan agama mengeluarkan ijtihad menentang unsur kesyirikan dan fitnah yang semakin bergelodak itu?

     Itulah antara rintihan suara batin si tua itu yang masih mengharapkan adanya sekelumit iman dalam diri muslim,bagi membantu mengembalikan semula sistem pemerintah khilafah. Tiada daya rasanya melihat anak-anak muda Islam kini semakin jauh dari agama mereka, cara hidup asing yang semakin dibangga-banggakan dan diikuti menampakkan seolah-olah anak- anak ini sudah tidak ada jati diri dan maruah. Di mana syariat Allah? di mana sunnah Rasulullah?

Hanya sekalung doa mampu si tua ini lafazkan....

Ya Allah,
Sudut situasi membelit pemikiranku,
Dalam hatiku ini terkumpul segala harapan,

Bawalah mereka kepadaMu,
Tambahkanlah kekurangan pada jiwa mereka dengan ketinggian ilmuMu,
Sinarilah kebenaran dengan hidayahMu,
Cenderungkanlah hati mereka kepada keindahan agamaMu,
Corakkanlah kehidupan mereka dengan kilauan cahaya barakahMu,
Kerana mereka masih lemah ya Allah,
Mereka memerlukan panduanMu,
Mereka memerlukan sokonganMu,
Mereka memerlukan kasih sayangMu,
Oleh itu ya Allah,jadikanlah mereka hamba yang sentiasa mencari kesempurnaan dalam menujuMu.
Janganlah Kau biarkan anak cucuku tengelam dalam kehanyutan dunia fana’ ini.

Ya Allah.......
Jadikanlah mereka anak-anak yang berani,
Jadikanlah mereka anak-anak yang ada nur Iman dalam diri,
Jadikanlah mereka pejuang-pejuang agama yang sanggup mati memperjuangkan agama,
Jadikanlah  mereka anak-anak yang akan mengembalikan semula zaman khilafah,
Jadikan mereka rantai besi perjuangan Islam,
Jadikan mereka bola api yang sedia membakar panji musuh
Jadikan mereka singa yang tidak  gentar membaham lawannya,
Dan jadikanlah mereka pokok rendang yang sentiasa menaungi kehidupan yang lain  dengan daun-daunnya yang bersumberkan dari nikmat pemberianMu...
Amin...amin...amin...ya robbal’alamiin...
-Doa dari hambaMu yang qudus-
(si tua yang dimamah usia)

22 September 2011

Permulaan Membina Baiti Jannati

Alhamdulillah.
     Sejak akhir-akhir ini,ramai dari kalangan sahabat dan keluarga yang melangsungkan pernikahan. Memeterai janji bagi dua insan bersatu dalam satu ikatan yang suci. Mabruk 'alaih buat sahabat-sahabat. Moga bertambah umat Nabi Muhammad saw kerana baginda sukakan umatnya yang ramai.

    Sejenak terfikir,apa jaminan kebahagian yang akan diperoleh bagi satu pasangan setelah selesainya ijab dan qabul? Semua pasangan jika ditanya,pasti inginkan kebahagian berkekalan serta dalam rahmat Allah sentiasa. Jika tidak,mana mungkin dijemput imam membacakan doa,diadakan majlis solat hajat pada malamnya sebelum hari pernikahan?

     Sedar atau tidak,kebanyakan pasangan pengantin itu sendiri yang menolak rahmat Allah dari menjenguk mereka. Masakan tidak,si pengantin perempuan mengenakan sanggul cantik di atas kepala bersama mahkota yang diikat bersamanya rambut yang hitam berkilat. Menampal bedak dan gincu pada muka sehingga hilang rupa bentuk asal wajah mereka,menambah bulu mata palsu agar kelihatan lebih cantik,seperti koleksi patung mainan kanak-kanak. Tidak cukup dengan itu,mengenakan sut pernikahan yang sangat bergaya kononnya,hingga terpapar warna kulit lengan,dari atas bahu ke hujung jari. 

"Masih belum cukup lagi barangkali",fikir si pengantin. Maka dibelah pula kain sarungnya hingga ke paras paha.."barulah cantik,mesti semua orang akan memandang kepada aku".."layaknya aku ditatap sebegini kerana hari ini ialah hari aku menjadi raja"..."raja sehari",getus hati si bunga.

     Si pengantin lelaki pula,bangga kerana mempunyai isteri yang cantik. Dia lupa,kecantikan isterinya itu hanya untuknya sahaja dan tidak patut dikongsi bersama orang lain. Wah,betapa murahnya harga seorang isteri yang dikurniakan kecantikan luar biasa. Apa tidaknya,sepatutnya hak mutlak suami dengan mudahnya dikongsi dengan kumbang-kumbang lain yang mungkin sudah sedia menyembur racun ke atas bunga cantik itu walaupun ianya telah dipetik. Apa si suami ini layaknya digelar lelaki dayus? Membiarkan sahaja lensa kamera terus mengelipkan cahayanya tatkala si pengambil foto menekan butang 'tangkap' pada kamera mereka. Terus,segala aksi-aksi yang dipertontonkan pada hari majlis itu dijadikan kenangan dan dikongsi pula bersama teman-teman yang lain. Diletakkan di 'facebook' contohnya supaya rakan-rakan yang tidak berkesempatan datang dapat sama-sama mencuci mata. Tidak salah menghebahkan pernikahan kerana itu dianjurkan oleh Rasulullah saw walau dengan seekor kambing.

Nabi saw bersabda:
حَدَّثَنَا أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ
Adakah walimah walaupun dengan seekor kambing”.[HR. Imam Bukhari dan Muslim]

     Apa yang kurang baiknya adalah pada hari pertama pernikahan lagi,si suami juga isteri sudah tidak mampu memainkan peranan masing-masing dalam menjaga rahsia pasangan masing-masing. Sedangkan,apabila diterima sahaja lafaz akad pernikahan oleh saksi,maka terus terpikul satu amanah yang besar bagi kedua pasangan suami isteri.
 
Firman Allah swt,petikan dari surah Al-Baqarah,potongan ayat 187 yang bermaksud:
                                    'Mereka adalah pakaian bagimu dan kamu adalah pakaian bagi mereka Allah'.

     Menggambarkan di sini bahawa pentingnya peranan si suami dan isteri untuk menjaga redha Allah dalam kehidupan berumah tangga serta menjaga hak dan rahsia masing-masing. Oleh itu,setiap pasangan perlu kepada kefahaman ilmu agama untuk mempersiapkan diri mengepalai dan menjadi pembantu kepada bahtera hidup yang dibina.

Bagaimana membina rumah tangga bahagia? Baiti Jannati


1) Letakkanlah tujuan perkahwinan untuk mencari keredhaan Allah dan melahirkan kader-kader untuk perjuangan Islam. Naluri untuk berteman dan keinginan kepada anak-anak adalah kehendak semulajadi yang telah diletakkan oleh Allah dalam diri setiap manusia yang normal.

Surah Al-Furqan ayat 74,maksudnya:

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami
isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikan
kami imam bagi orang yang bertaqwa."

2) Sedarlah bahawa perkahwinan dengan orang yang dikasihi itu adalah suatu ketetapan dari Allah. Tanpa restu dan izin yang Maha Berkuasa, perkahwinan tidak mungkin akan terjadi walau bagaimana besar usaha dan penat lelah yang dilakukan ke arahnya. Bersedia  menerima hakikat bahawa usia perkahwinan terletak di tanganNya, dan Allah berhak mengambilnya pada bila-bila masa yang dikehendakiNya. Sebagai seorang yang beriman dengan qada' dan qadar Allah, hendaklah sentiasa berdoa agar jodoh dengan pasangan berpanjangan sehingga ke akhir hayat.

Allah berfirman dalam surah Al-An'am ayat 17 yang bermaksud:

"Jika Allah menimpakan satu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia maha kuasa atas tiap-tiap
sesuatu."

3) Perkahwinan membuahkan hak-hak dan tanggungjawab tertentu yang perlu ditunaikan baik oleh si suami atau pun isteri. Antara tanggungjawab suami ialah melunaskan mas kahwin, memberi nafkah zahir dan batin, mendidik isteri dan anak- anak serta berlaku baik terhadap mereka. Manakala tanggungjawab si isteri pula ialah mentaati suami dalam perkara yang tidak berlawanan dengan syara', memelihara diri dari perkara yang mungkar, menjaga harta suami dan menguruskan rumahtangga.

Segala hak dan tanggungjawab ini telah termaktub didalam Al-Qur'an dan sangat bersesuaian dengan tabiat dan fitrah semulajadi manusia. Kita seharusnya melaksanakan segala tanggungjawab ini bukan
sekadar untuk menyukakan hati pasangan sahaja, sebaliknya kerana mencari keredhaan Allah s.w.t.

4) Sebagai seorang mukmin , sama ada lelaki dan perempuan mestilah meletakkan Allah dan Rasul lebih tinggi daripada segalanya. Firman Allah yang bermaksud:

"Katakanlah, jika bapa-bapa, anak-anak,
saudara-saudara,isteri-isteri, kaum keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan,
perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang
fasik." [Surah At Taubah, 24]

Oleh itu,fahamilah kedudukan di sisi pasangan. Suami bukanlah pihak pertama di hati isterinya dan begitu juga sebaliknya. Bagi suami, selepas ketaatan kepada Allah dan RasulNya, ibu bapa jatuh tempat kedua kemudian barulah isteri dan keluarga. Sementara bagi isteri, suami adalah tempat kedua selepas Allah dan RasulNya. Kemudian itu barulah ibu bapa. Setelah memahami kedudukan yang ditetapkan oleh Allah, seharusnya tolong menolonglah di antara suami isteri dalam meletakkan hak dan kedudukan ini supaya kena pada tempatnya.

5) Ingatlah bahawa pasangan kita adalah manusia biasa yang tidak terkecuali daripada kelemahan dan kesilapan. Begitu juga diri kita. Oleh itu sekiranya pasangan melakukan kesilapan, janganlah terlalu
diperhitungkan. Sentiasalah mengamalkan sikap bertolak ansur dan saling maaf memaafi antara suami dan isteri.

6) Sebagai seorang Islam, telah wujud ikatan persaudaraan Islamiah antara anda dan pasangan sebelum perkahwinan. Ijab qabul bukan sahaja menyatukan dua jiwa,malah mengerat dan mengemaskan lagi
ikatan persaudaraan ini. Oleh itu kasih sayang tidak hanya berfungsi untuk mengikat suami dan isteri tetapi juga sebagai saudara seiman dan seagama.

7 ) Beradablah dipertemuan pertama dengan pasangan. Suami hendaklah memberi salam kepada isteri apabila memasuki bilik pengantin dan meletakkan tangannya di atas ubun-ubun isteri sambil berdoa dengan
maksud:
"Wahai Tuhanku aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau fitrahkan dia atasnya. Dan aku berlindung
dengan Mu dari kejahatannya dan kejahatan apa yang Engkau fitrahkan dia atasnya."

Selepas itu pasangan hendaklah bersembahyang sunat dan berdoa kepada Allah agar diberi olehNya kebaikan dan dijauhiNya kejahatan. Dan jika hendak bersama dengan pasangan bacalah doa dengan maksud:

"Wahai Tuhanku, jauhkan kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada anak-anak yang engkau anugerahkan kepada kami."

Pertelingkahan antara suami isteri adalah sesuatu yang biasa terjadi sebagaimana lazim disebutkan 'sedangkan lidah lagi tergigit'. Maka apabila berlaku pergeseran janganlah diperbesarkan. Jikalau si suami marah, seeloknya si isteri diam dan sebaliknya. Adalah tidak perlu pasangan yang dimarahi cuba membela diri kerana
lazimnya ia tidak membuahkan hasil yang baik. Tanya pada diri,kenapa aku marah?
Adakah pasangan aku telah melakukan mungkar yang bertentangan dengan syariat Allah. Jika tidak, nasihat yang baik adalah lebih berkesan. Hidup saling memaafkan dan saling mengerti antara satu sama lain akan menambahserikan rumah tangga.

Janganlah takut menghadapi dugaan dan ujian kerana rumahtangga yang diuji akan membuatkannya lebih kukuh dan matang jika
pasangan bijak mengendalikannya. Sentiasalah berdoa kepada Allah agar dipermudahkan usaha kita dalam melayari kehidupan berumahtangga.
InsyaAllah....

19 September 2011

Bermulanya cebisan perkongsian....

Bismillahirrahmaanirrahim...
Selawat dan salam buat junjungan Nabi saw serta keluarga baginda. 
Alhamdulillah,setelah lama berhajat, Allah izinkan hamba untuk bersama teman-teman seperjuangan dalam medan dakwah di alam maya. Walaupun terasa berat tangan ini meniti tiap butir papan kekunci untuk ditaburkan  titisan idea yang mungkin akan memberi manfaat atau mungkin juga tidak berguna apa-apa. Allah akan uji setiap apa yang diperkatakan...moga-moga akan ada teguran dan nasihat sebagai panduan untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan....